FASILITI BILIK SARINGAN DAN DEWAN BERSALIN HSAJB KINI LEBIH SELESA

Bilik Saringan dan Dewan Bersalin di Bangunan Labour & Delivery, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru kembali beroperasi mulai 30 Mac selepas dinaik taraf bagi meningkatkan kemudahan ibu dan bayi. | Foto FB AH SOON
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh sistem kesihatan awam menerusi projek menaik taraf kemudahan fasiliti ibu dan bayi apabila Bilik Saringan dan Dewan Bersalin di Bangunan Labour & Delivery, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) kembali beroperasi mulai 30 Mac lalu.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyediakan persekitaran penjagaan kesihatan yang lebih selesa, selamat dan moden khusus untuk para ibu serta bayi, jelas YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor.
Kemudahan yang dinaik taraf ini tampil dengan susun atur lebih kondusif serta fasiliti yang dipertingkatkan, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan khususnya dalam aspek pengurusan kelahiran di hospital berkenaan.
Selain itu, bagi memastikan kelancaran sepanjang tempoh kerja naik taraf ini, orang ramai juga diminta menggunakan laluan alternatif melalui bangunan pusat bersalin bagi akses ke bangunan induk bermula hari ini, sehingga kerja-kerja naik taraf di kawasan berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya pada 30 Jun depan.
Sementara itu, Kaunter Hasil, Bilik Daftar Masuk (BDM) serta Farmasi Kecemasan terus beroperasi secara sementara di aras bawah Bangunan Labour & Delivery sejak 30 Januari lalu bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat kekal efisien dan tidak terjejas.
Inisiatif ini menjadi antara usaha signifikan Kerajaan Johor dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam dengan memberi fokus kepada keselesaan dan keselamatan ibu serta bayi demi kesejahteraan Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#KesihatanJohor
#HSAJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



