LEBIH RM267 JUTA PERKUKUH SEKTOR PERTANIAN JOHOR SEJAK 2022

Kerajaan Johor turut mempergiat pembangunan tanaman makanan utama dengan peruntukan RM88.8 juta melibatkan 8,728 usahawan tani serta memperkasa pertanian moden dan lestari berjumlah RM23.8 juta, sekali gus memanfaatkan 2,172 pengusaha. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Komitmen Kerajaan Johor dalam memperkukuh sektor pertanian dan agromakanan terus diperkasakan melalui peruntukan melebihi RM267 juta bagi tempoh empat tahun sejak 2022 bagi memastikan agenda keterjaminan makanan di negeri ini terus digerakkan dengan optimum.
Hasilnya, Johor telah muncul sebagai peneraju sektor pertanian negara dengan nilai jualan sebanyak RM27.2 bilion serta eksport tertinggi yang mencecah RM23.96 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2024.
Selain itu, Johor juga turut mengungguli sektor agromakanan apabila merekodkan nilai jualan Industri Asas Tani (IAT) tertinggi negara sebanyak RM348 juta atau 29 peratus daripada jumlah keseluruhan negara ini.
Pelbagai inisiatif berimpak tinggi terus dilaksanakan termasuk Program Jualan Kasih Johor dengan peruntukan RM42.12 juta yang telah memberi faedah kepada lebih 5.8 juta penerima manfaat.
Kerajaan Johor turut mempergiat pembangunan tanaman makanan utama dengan peruntukan RM88.8 juta melibatkan 8,728 usahawan tani serta memperkasa pertanian moden dan lestari berjumlah RM23.8 juta, sekali gus memanfaatkan 2,172 pengusaha.
Penglibatan golongan belia turut diperkukuh menerusi Johor Future Agropreneur (JFA) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta yang merangkumi pelaksanaan lebih 100 siri kursus pertanian setiap tahun bagi meningkatkan kemahiran dan produktiviti sektor terbabit.
Pada masa sama, Program Pertanian Komuniti berjumlah RM21.4 juta dan IAT sebanyak RM7.9 juta juga terus memperkasa komuniti serta usahawan tempatan di negeri ini.
Sementara itu, bagi sektor penternakan dan perikanan pula, lebih RM60 juta telah disalurkan termasuk pembangunan industri ternakan ruminan, kawalan penyakit ternakan serta pembangunan akuakultur dan estet kerang yang memberi manfaat kepada ribuan pengusaha di bidang berkenaan.
Keseluruhan usaha ini secara tidak langsung telah membuktikan sektor pertanian dan agromakanan terus menjadi antara tunjang utama ekonomi negeri serta pemacu kesejahteraan Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#WTN
#JohorFoodSecurity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



