YAYASAN JCORP ANGKAT WARISAN BATU PAHAT MENERUSI PENGANJURAN PSJ26

Jelajah PSJ26 berlangsung selama dua hari di Dataran Astaka Shahbandar, Batu Pahat pada 30 hingga 31 Oktober, sebelum diteruskan ke Kota Tinggi pada 28 hingga 29 November dan berakhir di Johor Bahru pada Disember ini. | Foto Yayasan Johor Corporation
#IskandarPuteri – Usaha Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) dalam memperkasakan warisan seni dan budaya tempatan diterjemahkan menerusi penganjuran Jelajah Pentas Seni Johor 2026 (PSJ26) di Batu Pahat, bagi membuka ruang kepada penggiat seni, artisan serta usahawan tempatan mengetengahkan bakat dan produk masing-masing.
Selain menjadi platform memelihara khazanah seni dan budaya Johor, inisiatif itu turut menjadi peluang kepada masyarakat untuk turut sama mengambil bahagian secara langsung dalam aktiviti ekonomi kreatif, sekali gus memberi peluang kepada pengusaha tempatan memperluas pasaran dan memperkenalkan hasil produk mereka kepada pengunjung.
Selain itu, PSJ26 turut turut menyediakan beberapa segmen menarik seperti Paso Kreatif yang menampilkan barangan kraftangan dan produk kreatif, manakala Yok Mangan menghimpunkan pengusaha makanan dan minuman tempatan dan Projek W.A.R.O (Warisan Asli, Rasa Original) pula turut mengetengahkan warisan kulinari masyarakat setempat seperti Sambal Goreng Jawa dan Nasi Ambeng.
PSJ26 juga turut melibatkan pembangunan bakat generasi muda melalui Klinik Budaya: Gambus, Pertandingan Suara Irama Ghazal dan Pertandingan Mewarna Motif Gambus, selain persembahan Zapin Koris, Zapin Tanjung Labuh, Zapin Duo Batu Pahat, Kuda Kepang Patuh Syariah serta Tarian Naga Akrobatik.
Pada program itu turut menyaksikan kerjasama Yayasan JCorp bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus disemarakkan menerusi Majlis Pertukaran Letter of Intent (LoI) antara YB Dato’ Mizan Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp dan YBhg. Dr Zahrul Akmal Damin, Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum UTHM.
Kerjasama yang dimeterai itu bertujuan menghubungkan penggiat seni dengan institusi pendidikan dalam usaha membangunkan bakat baharu serta memastikan ilmu seni tradisional terus dipelajari dan diwariskan kepada generasi akan datang
Terdahulu, Jelajah PSJ26 berlangsung selama dua hari di Dataran Astaka Shahbandar, Batu Pahat pada 30 dan 31 Oktober yang merupakan persinggahan ketiga jelajah berkenaan sebelum ia akan diteruskan ke Kota Tinggi pada 28 hingga 29 November ini dan program berkenaan dijadual bakal melabuhkan tirainya di Johor Bahru pada 25 dan 27 Disember depan.
#JohorSafeZone
#PentasSeniJohor
#YayasanJCorp
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


