JTDC BUKA PINTU KERJAYA BERGAJI PREMIUM UNTUK BANGSA JOHOR

Peluang pekerjaan di Johor meningkat daripada 15,000 pada 2022 kepada 24,000 pada 2025, dengan 26,000 peluang dijangka ditawarkan pada 2026 dan sasaran 200,000 menjelang 2030. Sehingga Mei 2026, seramai 8,537 anak muda Johor telah memperoleh pekerjaan bergaji melebihi RM4,000 sebulan menerusi pelbagai inisiatif JTDC.

Oleh: Muhammad Imran Mohd Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor
1. Mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan yang baik menjadi harapan ramai, khususnya anak muda yang baharu sahaja menamatkan pengajian, graduan yang sedang memulakan kerjaya dan pekerja mahir yang mahu meningkatkan taraf hidup masing-masing.
2. Di Johor, perkembangan positif pelaburan dan senario ekonomi negeri telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan, termasuk dalam sektor berkemahiran tinggi. Namun, bagaimana rakyat tempatan dapat mengenal pasti dan merebut peluang tersebut? Di sinilah peranan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dalam menghubungkan pencari kerja dengan pihak industri.
3. Cadangan penubuhan JTDC dizahirkan oleh Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, pada Jun 2024 sebelum dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, pada 3 November tahun yang sama. Penubuhannya bertujuan menyelaraskan pembangunan bakat tempatan dengan keperluan industri, khususnya ketika Johor sedang bersiap sedia menghadapi perkembangan pelaburan melalui inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
4. Melalui JTDC Job Match, pencari kerja akan dipadankan dengan kekosongan berdasarkan kelayakan, pengalaman dan kemahiran yang diperlukan oleh pihak majikan. Inisiatif ini dilihat dapat membantu merapatkan jurang apabila majikan sukar mendapatkan bakat tempatan, sedangkan pencari kerja tidak mengetahui peluang yang sesuai dengan kelayakan mereka.
5. Peluang pekerjaan di Johor menunjukkan peningkatan ketara, daripada 15,000 pada 2022 kepada 17,000 pada 2024, sebelum meningkat kepada 24,000 pada 2025. Bagi 2026 pula, sebanyak 26,000 peluang pekerjaan dijangka ditawarkan, manakala Johor menyasarkan pewujudan 200,000 peluang pekerjaan menjelang 2030, dengan tumpuan diberikan kepada pekerjaan bergaji premium.
6. Sejauh mana peluang pekerjaan bergaji premium dapat dinikmati anak Johor? Data yang dikongsikan JTDC menunjukkan seramai 8,537 anak muda berjaya memperoleh pekerjaan bergaji melebihi RM4,000 sebulan sehingga Mei 2026 menerusi pelbagai program dan inisiatif berkaitan.
7. Melalui JTDC Mega Job Fair 2026, sebanyak 44 majikan menawarkan lebih 3,000 kekosongan jawatan. Sebanyak 60 peratus daripada kekosongan tersebut dilaporkan melibatkan pekerjaan bergaji premium, sekali gus membuka peluang kepada pencari kerja untuk meneroka kerjaya dengan potensi pendapatan yang lebih tinggi.
8. Apakah gambaran gaji premium dalam pasaran pekerjaan Johor? Antara contoh yang dikongsikan JTDC ialah jurutera elektrik baharu berkelulusan ijazah berpotensi menerima tawaran sekitar RM5,000 sebulan, manakala chargeman atau penjaga jentera elektrik dengan sijil AO berpeluang menerima gaji sekitar RM4,500, bergantung pada majikan dan keperluan jawatan.
9. Peluang pendapatan lebih baik turut tersedia dalam bidang teknikal. Sesetengah pekerjaan dalam sektor pembuatan menawarkan gaji sekitar RM2,500 hingga RM3,000 kepada pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, manakala jawatan teknikal tertentu bagi pemegang diploma boleh menawarkan gaji sekitar RM4,500.
10. Ini menunjukkan pekerjaan bergaji premium bukan hanya untuk graduan universiti. Tenaga kerja lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), juruteknik serta pekerja mahir juga berpeluang memperoleh pendapatan lebih tinggi apabila kemahiran mereka memenuhi keperluan industri.
11. Bagaimana pula dengan pencari kerja yang belum memenuhi syarat majikan? JTDC juga telah menyelaraskan latihan bersama universiti, politeknik dan institusi TVET bagi merapatkan jurang kemahiran serta meningkatkan kebolehpasaran calon. Usaha ini bertujuan membantu menyediakan tenaga kerja yang lebih bersedia untuk memenuhi keperluan industri.
12. Gaji premium turut membawa persoalan lebih besar: mampukah Johor mengekalkan bakat tempatan yang selama ini memilih bekerja di Singapura? Perbezaan pendapatan sememangnya menjadi antara faktor yang mempengaruhi keputusan rakyat untuk bekerja di seberang tambak, khususnya apabila mereka melihat peluang kerjaya yang menawarkan imbuhan lebih menarik.
13. Namun, menangani penghijrahan bakat atau brain drain bukan bermaksud menghalang rakyat bekerja di luar negara. Sebaliknya, Johor kini sedang menyediakan pilihan kerjaya tempatan yang lebih kompetitif supaya mereka yang bekerja di Singapura atau di negeri lain mempunyai alasan untuk mempertimbangkan peluang berkhidmat di tanah air, termasuk dari segi pendapatan, perkembangan profesional dan masa bersama keluarga.
14. Peluang pekerjaan bergaji premium di Johor berpotensi membuka ruang kepada rakyat yang ingin kembali berkhidmat di negeri sendiri. Apabila tawaran pekerjaan ini sepadan dengan kemahiran dan pengalaman mereka, kepulangan bakat berpengalaman bukan sahaja memberi manfaat kepada individu dan keluarga, malah dapat memperkukuh tenaga kerja serta kepakaran industri tempatan.
15. Di sinilah peranan JTDC menjadi lebih bermakna, iaitu menghubungkan bakat tempatan dengan majikan serta membantu memastikan keperluan tenaga kerja bergerak seiring dengan perkembangan pelaburan. Usaha ini penting supaya peluang yang diwujudkan bukan sekadar mengisi kekosongan, tetapi turut membuka laluan kepada kerjaya yang menawarkan prospek pendapatan dan perkembangan profesional yang lebih baik.
16. Sasaran 200,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 membuka ruang besar kepada pembangunan kerjaya di Johor. Namun, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana rakyat tempatan bersedia merebut peluang tersebut dan sejauh mana industri mampu menawarkan kerjaya yang menarik bakat terbaik untuk kekal atau kembali ke negeri sendiri.
17. Melalui padanan pekerjaan, latihan kemahiran dan hubungan rapat dengan industri, JTDC telah membuka pintu kerjaya bergaji premium untuk Bangsa Johor. Hal ini kerana kejayaan pertumbuhan ekonomi bukan sahaja diukur melalui jumlah pelaburan atau pekerjaan yang diwujudkan, tetapi juga melalui peluang untuk rakyat membina kerjaya, meningkatkan pendapatan dan menikmati masa depan yang lebih baik di negeri sendiri.
#JohorSafeZone
#JTDC
#KerjayaJohor
#PeluangPekerjaan
#GajiPremium
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


