JOHOR GUNA TEKNOLOGI KOLAM TAKUNGAN AIR BAWAH TANAH TANGANI BANJIR

Kemudahan terbaharu itu berfungsi untuk menakung air hujan buat sementara waktu, sebelum ia kemudiannya akan dilepaskan secara terkawal ke dalam sistem perparitan, sekali gus membantu mengurangkan limpahan air serta tekanan terhadap sistem saliran sedia ada ketika hujan lebat. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan menerapkan pendekatan inovatif dalam pengurusan banjir di kawasan bandar menerusi pembinaan kolam takungan air hujan di tapak (On-Site Detention – OSD) bernilai RM3 juta di Jalan Hang Tuah, Taman Skudai Baru, bagi membantu mengurangkan risiko kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan.
Kemudahan terbaharu itu berfungsi untuk menakung air hujan buat sementara waktu, sebelum ia kemudiannya akan dilepaskan secara terkawal ke dalam sistem perparitan, sekali gus membantu mengurangkan limpahan air serta tekanan terhadap sistem saliran sedia ada ketika hujan lebat, jelas YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
Pendekatan ini turut membolehkan struktur takungan dibina di bawah tanah, manakala ruang di permukaan terus dimanfaatkan untuk kemudahan awam seperti taman permainan, kawasan riadah dan ruang komuniti.
Konsep takungan multifungsi ini mengambil inspirasi daripada amalan pengurusan air bandar di negara maju seperti Jepun, selain pendekatan seumpamanya yang dilaksanakan di Malaysia menerusi gabungan sistem takungan bawah tanah dengan ruang rekreasi awam.
Susulan itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut merancang pembinaan kemudahan OSD kedua di Kampung Mohd Amin dengan peruntukan melebihi RM1 juta bagi memperkukuh usaha menangani risiko banjir di kawasan berkenaan.
Selain projek di Taman Skudai Baru ini, Kerajaan Johor bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) turut melaksanakan kerja menaik taraf sistem perparitan di Jalan Zapin, Jalan Ronggeng, Jalan Inang dan Jalan Baung dengan kos RM5 juta bagi membantu menangani kejadian banjir berulang di kawasan berkenaan.
Kedua-dua pendekatan ini memperlihatkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh infrastruktur tebatan banjir melalui penyelesaian yang mengambil kira keperluan sistem saliran serta penggunaan ruang bandar secara optimum.
Usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Johor untuk meningkatkan daya tahan kawasan berisiko banjir, di samping melindungi keselamatan, harta benda dan kesejahteraan penduduk setempat.
#JohorSafeZone
#JohorSmartCity
#JohorSelamat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



