XTIF JOHOR DISASARKAN DILAKSANAKAN KE SELURUH DAERAH

Usaha berkenaan juga selari dengan aspirasi ‘Johor Sport Nation’ dalam membudayakan gaya hidup sihat merentas kaum, agama dan peringkat umur, di samping memperkukuh silaturahim serta semangat kebersamaan dalam kalangan Bangsa Johor. Foto FB Hairi Md Shah.
#JohorBahru – Peruntukan yang lebih besar bagi inisiatif XTIF Johor diharap dapat dipertimbangkan menerusi Belanjawan Johor 2027 bagi membolehkan pelaksanaan inisiatif berkenaan dapat terus diperluas ke setiap daerah di negeri ini, bermula tahun hadapan.
Harapan itu dizahirkan susulan sambutan yang menggalakkan terhadap penganjuran XTIFJOHOR@DUN Larkin yang berlangsung selama tiga hari bersama Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin sejak Jumaat lalu.
Penganjuran program berkenaan yang dilaksanakan menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) itu berjaya menghimpunkan lebih 15,000 pengunjung, selain turut mencatatkan penyertaan melebihi 8,000 peserta menerusi pendaftaran dalam talian dengan kira-kira 90 peratus penyertaannya terdiri daripada rakyat Johor.
Menerusi inisiatif XTIF Johor, ia bukan sahaja memberi tumpuan kepada sukan teras, malah turut menghidupkan kembali sukan rakyat seperti dam haji, karom dan gusti lengan, selain e-sukan, ‘street soccer’, bola jaring dan bola keranjang tiga sebelah serta aktiviti riadah untuk seisi keluarga.
Usaha berkenaan juga selari dengan aspirasi ‘Johor Sport Nation’ dalam membudayakan gaya hidup sihat merentas kaum, agama dan peringkat umur, di samping memperkukuh silaturahim serta semangat kebersamaan dalam kalangan Bangsa Johor.
Sebelum ini, Inisiatif XTIF Johor telah dimulakan di daerah Mersing pada tahun 2025, sebelum diteruskan di Iskandar Puteri pada Jun tahun ini. Program berkenaan juga dijangka akan diteruskan di Simpang Renggam dan Muar menjelang penghujung tahun ini.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan majlis Flag-Off Fun Run 5KM dan Fun Ride 10KM sempena XTIFJOHOR@DUN Larkin x Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Johor, hari ini.
Hadir sama ialah YB Tuan Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor dan YBhg. Encik Hasnul Atmam Othman, Pengarah MSNJ.
#JohorSafeZone
#XtifJohor
#DUNLarkin
#MSNJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


