SISTEM GILIRAN PINTAR HSA TERIMA MAKLUM BALAS POSITIF PESAKIT

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor meninjau pengoperasian sistem SQS serta pengoperasian HSAJB. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Pelaksanaan Sistem Giliran Pintar (SQS) di Poliklinik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru menerima maklum balas positif pesakit apabila berjaya membuktikan keberkesanan inisiatif digital ini dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan dan mengurangkan kesesakan di fasiliti berkenaan.
Rata-rata pesakit menyambut baik inisiatif SQS berkenaan melalui perkongsian di media sosial, khususnya berkaitan pengalaman menunggu yang lebih teratur tanpa perlu beratur panjang di kaunter pendaftaran sebagaimana keadaan yang sering berlaku sebelum ini.
Pengguna aplikasi Threads, @chuya.hanany, berkongsi pengalaman positif menggunakan sistem SQS apabila pendaftaran dapat dilakukan lebih awal sebelum hadir ke hospital, diikuti imbasan kod kehadiran setibanya di fasiliti, sekali gus membolehkannya menunggu giliran dengan lebih selesa tanpa beratur lama di kaunter pendaftaran.
Menerusi sistem tersebut juga membolehkan pesakit memantau kedudukan giliran secara langsung, sekali gus memberikan mereka fleksibiliti mengurus masa menunggu sebelum sesi konsultasi bersama doktor dapat berlangsung dengan lebih lancar dan teratur.
Secara purata, kira-kira 2,000 pesakit sehari telah menggunakan sistem SQS di poliklinik HSA, dengan jumlah keseluruhan janji temu yang direkodkan setakat pertengahan Mac kini mencecah 379,445.
Pengenalan sistem digital ini turut membantu pihak HSA mengurus aliran pesakit dengan lebih sistematik, sekali gus membolehkan kakitangan perubatan memberi tumpuan kepada rawatan tanpa terganggu oleh proses pengurusan giliran secara manual.
Selain meningkatkan kecekapan operasi, pelaksanaan SQS juga memperkukuh ketelusan pengurusan giliran serta memudahkan pemantauan aliran pesakit bagi tujuan perancangan sumber manusia dan penambahbaikan perkhidmatan secara berterusan.
Sistem SQS dibangunkan dengan peruntukan RM1 juta melalui Belanjawan Johor 2024 bagi memudahkan pesakit mendapatkan perkhidmatan di HSA, sekali gus mengatasi kesesakan di hospital awam berkenaan melalui teknologi pengurusan giliran yang lebih moden dan efisien.
#JohorSafeZone
#PerkhidmatanBerkualiti
#HSAJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



