SUMBANGAN KHAS ZAKAT MAINJ MANFAATKAN KUMPULAN YANG MEMERLUKAN

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyampaikan cek cura Sumbangan Khas Zakat kepada Zainal Abidin Hamid, Timbalan Pengerusi Persatuan Bagi Kanak-Kanak Kerencatan Akal Johor. { Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyalurkan Sumbangan Khas Zakat kepada pelbagai penerima manfaat yang merangkumi kebajikan asnaf, pendidikan, dakwah, kesihatan serta pemerkasaan institusi dan pertubuhan kebajikan di seluruh negeri ini.
Usaha tersebut mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap kutipan zakat akan diurus secara berintegriti dan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan serta layak menerimanya, sekali gus memperkukuh kesejahteraan ummah.
Bagi Zainal Abidin Hamid, Timbalan Pengerusi Persatuan Bagi Kanak-Kanak Kerencatan Akal Johor, menzahirkan rasa syukur atas sumbangan zakat sebanyak RM20,000 yang diterima oleh pihaknya dan ia secara tidak langsung akan memberi manfaat langsung kepada 50 pelajar berkeperluan khas serta menyokong khidmat 12 tenaga pengajar terlatih di persatuan tersebut.
Menurutnya, bantuan berkenaan sedikit sebanyak amat membantu terutama dalam usaha memastikan pendidikan asas kepada kanak-kanak istimewa yang terdiri daripada pelbagai kategori kerencatan akal ini akan dapat diteruskan secara konsisten dan berkesan, selain ia juga akan dapat digunakan bagi pembayaran gaji guru-guru serta kerja menaik taraf kemudahan kelas dan prasarana pembelajaran.
Sementara itu, Mohd Yazid Bain, Timbalan Pengerusi Persatuan Orang Pekak Islam Johor pula menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Johor dan MAINJ atas keprihatinan menyalurkan zakat kepada golongan pekak Islam yang turut disifatkan amat bermakna dalam menyokong kelangsungan program kebajikan serta pembangunan sahsiah komuniti pekak Islam di negeri ini.
Ujarnya, sumbangan zakat berjumlah RM20,000 ini juga akan dimanfaatkan secara berfokus bagi memperkukuh aktiviti dakwah, latihan kefahaman agama serta kebajikan ahli persatuan agar mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan ummah dan negeri.
Selain itu, sumbangan khas sebanyak RM20,000 ini juga turut disalurkan kepada beberapa institusi dan pertubuhan kebajikan, antaranya Maahad Tahfiz Negeri Johor, Maahad Johor, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI), Persatuan Cerebral Palsy, Persatuan Kebajikan Nur Ehsan, Persatuan Orang Cacat Penglihatan Negeri Johor, Persatuan Autism NurKids serta Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).
#JohorSafeZone
#ZakatMAINJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



