YAYASAN JCORP BANTU PELAJAR PERKASA PENGUASAAN BAHASA INGGERIS


Pertandingan ‘Choral Speaking’ anjuran Yayasan Johor Corporation (JCorp) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang telah berlangsung pada hujung September lalu. | Foto ihsan Yayasan JCorp

 

SEBANYAK 22 sekolah rendah dan sekolah menengah dari seluruh negeri ini menyertai pertandingan ‘Choral Speaking’ anjuran Yayasan Johor Corporation (JCorp) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang telah berlangsung pada hujung September lalu.

 

Ketua Yayasan JCorp, Zaidatul Zurita Abdul Rahman memberitahu penglibatan pihaknya di dalam meningkatkan tahap penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris telah bermula sejak tahun 2012 menerusi program tuisyen di sekolah-sekolah terpilih di Negeri Johor.

 

“Kami di Yayasan JCorp percaya kemahiran berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris amat mustahak dalam kalangan pelajar kita. Oleh itu, kami mengambil inisiatif menerusi penganjuran pertandingan seumpama ini agar mereka boleh menunjukkan kebolehan mereka bertutur dalam bahasa Inggeris dengan penuh yakin,” katanya.

 

Tambah Zaidatul, beberapa strategi telah dirangka oleh Yayasan JCorp untuk meningkat penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar antaranya melantik pelajar dari Majlis Pemimpin Muda Johor (JSLC) sebagai pengajar di dalam program kolaborasi bersama Deloitte KidsEdu.

 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Md Said Daimon pula menzahirkan penghargaan kepada Yayasan JCorp di atas penganjuran pertandingan ‘Choral Speaking’ yang telah menghimpunkan sekolah terbaik dari seluruh negeri ini.

 

“Terima kasih Yayasan JCorp di atas sokongan yang tidak berbelah bahagi terutamanya melibatkan pembangunan bakat para pelajar. Menerusi pertandingan ini, ia membolehkan para pelajar meningkat penguasaan bahasa Inggeris mereka selain menyemai budaya persaingan sihat dalam kalangan pelajar,” kata beliau.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor