86 LAMPU JALAN SOLAR DIPASANG, KESELAMATAN PENGGUNA JALAN RAYA DI YONG PENG DIPERTINGKAT

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Negeri Yong Peng meninjau pemasangan lampu jalan solar di beberapa laluan sekitar Yong Peng, termasuk laluan ke Kangkar Bahru dan Jalan Muar menuju Parit Yaani. | Foto FB AH SOON
#YongPeng – Sebanyak 86 lampu jalan solar kini dipasang di beberapa laluan sekitar Yong Peng, merangkumi laluan ke Kangkar Bahru serta Jalan Muar menuju ke Parit Yaani, bagi meningkatkan tahap pencahayaan dan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam.
Di laluan Yong Peng ke Kangkar Bahru, sebanyak 20 unit lampu jalan solar telah siap dipasang dan mula berfungsi menerusi peruntukan YB Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, Ahli Parlimen Ayer Hitam dengan pelaksanaannya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Sementara itu, sebanyak 36 unit lampu jalan solar tambahan turut dipasang di Jalan Muar iaitu membabitkan laluan Yong Peng menuju ke Parit Yaani, menjadikan jumlah keseluruhan 50 unit termasuk 14 unit kemudahan sama yang telah dipasang pada bulan lalu.
Selain pencahayaan jalan, keadaan bahu jalan yang lebih tinggi daripada permukaan jalan sehingga menyebabkan air mudah bertakung ketika hujan turut mendapat perhatian, susulan maklum balas penduduk Kangkar Bahru.
Susulan aduan penduduk itu, Kerajaan Johor telah membangkitkan isu berkenaan kepada pihak JKR Daerah Batu Pahat, dengan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan bahu jalan kini sedang dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Penambahbaikan kemudahan infrastruktur ini diharap menjadi sinar baharu buat pengguna jalan raya, menerangi perjalanan dengan lebih selamat dan selesa, di samping melancarkan pergerakan harian serta memenuhi keperluan penduduk setempat.
#YongPeng
#InfrastrukturJohor
#KeselamatanJalanRaya
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


