PROJEK NAIK TARAF LEBUHRAYA SENAI–DESARU CAPAI KEMAJUAN 85.41 PERATUS

Projek menaik taraf Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) sepanjang 9.34 kilometer mencatatkan kemajuan fizikal 85.41 peratus setakat 25 September 2026. | Foto FB Fazli Salleh
#JohorBahru – Projek menaik taraf Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) dari Jambatan Sungai Johor hingga Sungai Semenchu sepanjang 9.34 kilometer (KM) telah mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 85.41 peratus, setakat 25 September 2026.
Kemajuan projek SDE itu dipantau sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, YB Tuan Ir. Ts. Haji Mohamad Fazli Mohamad Salleh ketika melakukan lawatan ke tapak projek berkenaan bagi menilai perkembangan projek berkenaan.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Johor menegaskan kepentingan untuk mempercepat baki kerja pembinaan melalui penyelarasan berkesan di tapak bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut sasaran yang ditetapkan iaitu pada akhir April 2027.
Dari segi pelaksanaan, kerja beam launching telah selesai dilaksanakan pada 10 September lalu, manakala pembinaan sehingga peringkat ‘parapet wall’ dijangka siap pada Disember 2026.
Selain itu, sebahagian kerja penurapan jalan (pavement) telah diselesaikan, sementara baki kerja penurapan serta kerja penyambungan VBC3 (VBC3 connection works) masih giat dilaksanakan.
Dalam pada itu, penyelarasan berterusan antara pihak berkaitan amat penting bagi memastikan sebarang kekangan isu di tapak projek dapat ditangani segera, di samping mengekalkan standard kualiti pembinaan serta mengutamakan keselamatan pengguna sepanjang tempoh pelaksanaan projek berlangsung.
Projek naik taraf ini dijangka meningkatkan kelancaran aliran trafik, keselesaan perjalanan dan keselamatan pengguna, sekali gus memperkukuh pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kualiti perhubungan jalan raya untuk rakyat Johor.
#InfrastrukturJohor
#LebuhrayaSenaiDesaru
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



