TASKA TERUS BEROPERASI, PDK DAN PUSAT AKTIVITI KANAK-KANAK DITUTUP SUSULAN JEREBU

Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak terus diberi keutamaan sepanjang tempoh keadaan jerebu semasa. | Foto JKM Negeri Johor
#IskandarPuteri – Semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di seluruh Johor akan terus beroperasi seperti biasa, manakala operasi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditutup selama lima hari, bermula hari ini hingga 23 Oktober 2026.
Keputusan itu dibuat susulan pengumuman lanjutan tempoh penutupan semua sekolah di seluruh Negeri Johor akibat keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.
Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak terus diberi keutamaan sepanjang tempoh keadaan jerebu semasa, jelas YB Puan Hasrunizah Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor.
Bagi operasi TASKA, aktiviti luar perlu dihentikan bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada udara yang tidak sihat. Bagaimanapun, sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai 200 dan ke atas, operasi TASKA hendaklah ditutup sebagai langkah perlindungan.
Sementara itu, operasi PDK dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditutup selama lima hari bermula hari ini hingga 23 Oktober 2026, selaras dengan langkah keselamatan susulan keadaan jerebu yang sedang berlaku.
Ibu bapa, penjaga dan pengusaha TASKA dinasihatkan sentiasa memantau keadaan kesihatan kanak-kanak, memastikan pengambilan air yang mencukupi serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak, sesak nafas atau ketidakselesaan akibat jerebu.
Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan terus memantau perkembangan bacaan IPU dan keadaan semasa bagi memastikan sebarang perubahan atau arahan lanjut dapat dimaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan keadaan serta nasihat pihak berkuasa berkaitan.
#JohorSafeZone
#TASKA
#PDK
#Jerebu
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



