PORTAL ‘WAQAFPRENEUR’ BANTU PERKASA EKOSISTEM KEUSAHAWANAN JOHOR
Oleh: Suhana Ariffin

YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor pada Majlis Perasmian Hari Waqafpreneur 2026 di Pulai Springs Resort, Johor. | Foto FB Hairi Mad Shah – HMS
#JohorBahru – Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) dengan kerjasama Aspirasi An-Nur Sdn Bhd melancarkan Portal Waqafpreneur sebagai antara langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan di Johor, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing dalam pasaran.
Platform yang dilancarkan bersempena Hari Waqafpreneur 2026 turut menghimpunkan alumni dan usahawan program Enterprise Sosial Waqaf An-Nur bersama agensi berkaitan termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB).
Kejayaan pembangunan usahawan bukan sekadar diukur berdasarkan bantuan, latihan atau pembiayaan yang diberikan, sebaliknya ia turut dinilai menerusi perkembangan perniagaan, peningkatan pendapatan serta keupayaan usahawan mewujudkan peluang ekonomi kepada anggota masyarakat yang lain.
Usaha ini juga selari dengan hasrat YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor untuk memastikan golongan usahawan di negeri ini dapat memperoleh manfaat daripada pelbagai inisiatif pembangunan serta mampu meningkatkan daya saing mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, Hari Waqafpreneur 2026 yang berteraskan tiga elemen utama iaitu Inspirasi, Jaringan dan Peluang turut berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan usahawan secara lebih menyeluruh dan berterusan.
Sementara itu, pelancaran Portal Waqafpreneur ini diharap bukan sekadar berfungsi sebagai pangkalan data alumni, malah ia berupaya berkembang sebagai platform jaringan yang menghubungkan usahawan, memperluas peluang kerjasama serta menyokong perkembangan perniagaan secara berterusan.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor hadir ke Majlis Perasmian Hari Waqafpreneur 2026 di Pulai Springs Resort, Johor semalam.
#JohorSafeZone
#UsahawanJohor
#WaqafAnNur
#HariWaqafpreneur2026
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



