PRO3C PERKUKUH EKOSISTEM TEKNOLOGI DIGITAL JOHOR

YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor pada Majlis Perasmian Pembukaan Fasiliti Pembuatan PRO3C di Johor. | Foto FB Lee Ting Han
#JohorBahru – Pembukaan fasiliti pembuatan PRO3C di Johor memperkukuh kedudukan negeri ini dalam rantaian bekalan teknologi global, khususnya bagi menyokong perkembangan pengkomputeran awan, komunikasi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Fasiliti berkenaan merupakan sebahagian daripada pelaburan yang dibuat oleh FIC Global dan PRO3C dalam pengeluaran komponen ‘transceiver’ optik yang berperanan penting dalam penghantaran data berkelajuan tinggi menerusi rangkaian gentian optik.
Komponen itu membolehkan isyarat elektrik ditukarkan kepada cahaya untuk penghantaran data sebelum ia kemudiannya ditukarkan semula kepada isyarat elektrik di hujung penerima, sekali gus menyokong kecekapan infrastruktur digital moden.
Seiring dengan perkembangan teknologi AI, permintaan terhadap sambungan berkelajuan tinggi semakin meningkat, termasuk peralihan daripada kapasiti 800 gigabit (GB) kepada 1.6 terabit (TB) bagi memenuhi keperluan jalur lebar yang lebih besar, prestasi stabil dan kecekapan tenaga.
Johor juga turut mempunyai lebih satu gigawatt kapasiti teknologi maklumat (IT) pusat data yang sedang beroperasi, manakala tambahan kapasiti antara tiga hingga lima gigawatt sedang dalam pembinaan atau perancangan, sekali gus membuka peluang dalam memperluas ekosistem industri berkaitan.
Dalam pada itu, pelaburan PRO3C dijangka berupaya membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan proses, automasi, pengujian, jaminan kualiti dan pengurusan rantaian bekalan, selain ia turut menggalakkan kerjasama dengan universiti, politeknik serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Strategi FIC Global yang menghubungkan Johor dan Singapura turut mencerminkan potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam mengintegrasikan keupayaan pembuatan, tenaga mahir dan infrastruktur Johor dengan jaringan inovasi serta akses pasaran antarabangsa Singapura.
Pembukaan fasiliti ini diharap terus menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berteknologi tinggi yang lebih menyeluruh, sekali gus membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menyertai rantaian bekalan antarabangsa terutama di dalam sektor automasi, penyelenggaraan, pembungkusan dan logistik.
Selain itu, ia juga berupaya untuk mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta membawa manfaat ekonomi jangka panjang kepada rakyat Johor pada masa akan datang.
Terdahulu, majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.
#PRO3C
#FICGlobal
#JSSEZ
#EkonomiJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



