JS-SEZ BUKA PINTU PELABURAN, JETP LUASKAN PELUANG EKONOMI JOHOR

Menjelang 2030, JETP menyasarkan KDNK Johor mencecah RM260 bilion, mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan KDNK per kapita kepada lebih RM69,000, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Oleh: Muhammad Imran Mohd Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor
1. Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas keprihatinan baginda dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam pembangunan negeri. Penegasan Baginda agar Kerajaan Negeri terus melaksanakan agenda pembangunan dengan penuh tanggungjawab, di samping menghargai kerjasama Kerajaan Persekutuan, mencerminkan kepentingan kesepakatan dalam memacu kemajuan ekonomi Johor demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor.
2. Dalam usaha memacu ekonomi negeri, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) mempunyai fungsi yang berbeza tetapi saling melengkapi. JS-SEZ memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan dan memperluas kerjasama ekonomi rentas sempadan, manakala JETP pula merupakan pelan yang lebih menyeluruh untuk menggerakkan transformasi ekonomi berdasarkan potensi yang terdapat di kesemua 10 daerah di Johor.
3. Perbezaan ini mudah difahami melalui analogi membina sebuah rumah. JS-SEZ ibarat pintu yang membuka laluan kepada pelabur dan peluang perniagaan baharu, khususnya melalui kerjasama dengan Singapura. JETP pula ibarat pelan rumah yang menyusun bagaimana ruang dan sumber dapat dimanfaatkan dengan lebih teratur. Pintu yang terbuka membawa peluang masuk, tetapi pelan yang baik membantu memastikan pembangunan berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai penghuninya.
4. Potensi JETP dapat dilihat melalui sasaran menjelang 2030, iaitu meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor kepada RM260 bilion, mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan KDNK per kapita kepada lebih RM69,000. Sasaran ini menggambarkan hasrat untuk membesarkan ekonomi negeri, memperluas peluang pekerjaan dan meningkatkan nilai ekonomi bagi setiap penduduk.
5. Bagi menyokong sasaran tersebut, sebanyak 83 projek pelaburan bernilai RM167.4 bilion telah dikenal pasti di bawah JETP, merangkumi lapan sektor keutamaan termasuk elektrik dan elektronik, tenaga, kimia dan petrokimia, kesihatan dan farmaseutikal, aeroangkasa, logistik, pelancongan serta pertanian. Projek-projek ini berpotensi membuka ruang kepada pelbagai aktiviti ekonomi untuk berkembang sehingga 2030.
6. Menariknya, sektor elektrik dan elektronik (E&E) merangkumi pelaburan bernilai RM95.8 bilion menerusi 27 projek yang dikenal pasti di bawah JETP, bersamaan kira-kira 57 peratus daripada keseluruhan nilai 83 projek tersebut. Sektor tenaga pula melibatkan pelaburan bernilai RM28.2 bilion menerusi sembilan projek. Angka ini menunjukkan tumpuan besar terhadap industri bernilai tinggi, sementara sektor lain turut membuka ruang kepada kepelbagaian ekonomi Johor.
7. Perkembangan pelaburan Johor turut menunjukkan skala peluang yang sedang terbuka. Sepanjang empat tahun kebelakangan ini, Johor berjaya merekodkan aliran pelaburan bernilai RM272 bilion yang menyumbang kepada pewujudan lebih 80,000 peluang pekerjaan baharu. Bagi JS-SEZ pula, sebanyak RM132 bilion pelaburan telah direkodkan sejak 2025 hingga Jun 2026, memperlihatkan potensi besar kerjasama ekonomi rentas sempadan dalam memacu pertumbuhan iktisad dan pembangunan negeri.
8. Momentum ini turut disokong oleh prestasi ekonomi Johor yang berkembang sebanyak 8.0 peratus pada 2025, berbanding 6.5 peratus pada 2024. Nilai KDNK negeri meningkat daripada RM158.3 bilion kepada RM170.9 bilion, iaitu pertambahan sekitar RM12.6 bilion dalam setahun. Perkembangan ini memberikan gambaran tentang pengembangan ekonomi Johor, manakala JETP menyediakan hala tuju untuk meneruskan momentum tersebut sehingga 2030.
9. Namun, apakah makna angka berbilion ringgit ini kepada rakyat biasa? Bayangkan Pak Samad, seorang pekebun di kampung yang mahu memasarkan hasil tanamannya ke pasaran yang lebih besar atau Kak Normah, pengusaha kerepek yang ingin mengembangkan perniagaan keluarganya. Jika akses kepada pasaran, kemudahan pengangkutan dan rangkaian perniagaan semakin baik, mereka berpeluang meluaskan empayar perniagaan masing-masing. Inilah antara manfaat ekonomi yang boleh diusahakan supaya pertumbuhan negeri turut membuka ruang kepada masyarakat setempat.
10. Peluang yang sama turut boleh melibatkan pelbagai bidang pekerjaan. Lim Wei Jian, misalnya, boleh digambarkan sebagai pemilik bengkel yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat pengangkutan, manakala M. Ganesan pula mengusahakan perniagaan katering yang berpotensi membekalkan makanan kepada pekerja industri. Apabila lebih banyak syarikat berkembang, permintaan terhadap perkhidmatan sokongan juga boleh meningkat. Ini menunjukkan limpahan pelaburan berpotensi membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bukan hanya untuk syarikat besar semata-mata.
11. Potensi setiap daerah pula boleh dikembangkan mengikut kekuatan masing-masing. Di kawasan pertanian, Pak Samad boleh mendapat peluang memasarkan hasil kepada pembeli baharu, manakala pengusaha pelancongan seperti Siti Hajar boleh mengembangkan perniagaan inap desa dan memperkenalkan produk tempatan kepada pengunjung. Di kawasan yang mempunyai kegiatan industri dan logistik, pembekal serta penyedia perkhidmatan tempatan juga boleh mengambil bahagian. Inilah antara ruang yang boleh dikembangkan melalui JETP supaya pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu pada satu kawasan atau sektor sahaja.
12. Orang Muda Johor juga turut berpeluang merebut manfaat daripada perkembangan ekonomi ini. Bayangkan Arjun dari Mersing yang ingin membina kerjaya dalam bidang teknikal atau Nur Aina dari Batu Pahat yang berminat dalam sektor logistik. Bagaimanakah mereka dapat mempersiapkan diri untuk merebut peluang tersebut? Di sinilah peranan penting Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dalam menghubungkan institusi latihan dengan keperluan industri supaya anak Johor mempunyai kemahiran yang sesuai untuk mengisi peluang pekerjaan berkualiti yang diwujudkan melalui pertumbuhan pelaburan.
13. Sasaran JETP turut memberikan gambaran tentang skala usaha yang diperlukan untuk mewujudkan lebih 200,000 pekerjaan baharu menjelang 2030. Kira-kira 150,000 pekerjaan disasarkan melalui intervensi strategik, manakala 50,000 lagi dijangka terhasil daripada pertumbuhan ekonomi secara organik. Untuk mencapai sasaran tersebut, pembangunan industri perlu disertai usaha menyediakan tenaga kerja berkemahiran, memperkukuh perniagaan tempatan dan membuka ruang kepada lebih banyak aktiviti ekonomi.
14. Dalam pelbagai ucapan dan penegasan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, beliau sentiasa mengangkat kepentingan pembangunan ekonomi yang mampu memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor. Kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan dalam bidang ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur turut menyokong usaha memperluas manfaat pembangunan supaya pertumbuhan negeri bergerak seiring dengan keperluan rakyat.
15. Dengan sasaran KDNK RM260 bilion, lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu dan 83 projek pelaburan bernilai RM167.4 bilion yang dikenal pasti di bawah JETP, Johor kini sedang membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih besar menjelang 2030. Potensinya boleh dilihat melalui pelbagai peluang: pekebun yang mendapat pasaran lebih luas, pengusaha kecil yang menerima tempahan baharu, anak muda yang membina kerjaya dan peniaga kampung yang mengembangkan perniagaan. Jika JS-SEZ membuka pintu kepada pelaburan, JETP pula membantu memperluas peluang supaya lebih ramai Bangsa Johor dapat mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi negeri kelak.
#JohorSafeZone
#JSSEZ
#JETP
#MajuJohor2030
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


