MBJB TINGKATKAN PENGURUSAN HAIWAN TERBIAR DEMI KESELAMATAN RAKYAT DAN KEBAJIKAN HAIWAN
Oleh: Suhana Ariffin

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor meninjau lawatan ke Johor Bahru Stray Animal Sanctuary (JBSAS) di Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor Bahru. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#JohorBahru- Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) komited dalam memperkukuh aspek pengurusan haiwan terbiar secara menyeluruh dan berterusan dengan memberi keutamaan terhadap soal keselamatan rakyat, kesihatan awam serta kebajikan haiwan.
Komitmen itu dizahirkan menerusi lawatan ke Johor Bahru Stray Animal Sanctuary (JBSAS) yang dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang Januari 2027.
Walaupun ia akan beroperasi pada tahun hadapan, namun penggunaan JBSAS secara berfasa telah pun bermula pada September 2026 bagi kemudahan penempatan haiwan terbiar seperti anjing, kucing, lembu dan unggas seperti merpati serta ayam.
Pendekatan ini turut mengambil kira kebimbangan penduduk terhadap gangguan haiwan terbiar, khususnya risiko serangan yang boleh mengancam keselamatan orang awam di kawasan kediaman.
Antara langkah bagi mengatasi isu haiwan terbiar ini termasuk pengurusan aduan, operasi tangkapan, penjagaan di pusat perlindungan, program kembiri serta adopsi yang bersesuaian bagi memastikan pengurusan haiwan berkenaan dapat dilaksana dengan lebih teratur.
Kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT), pihak veterinar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat perlu terus diperkukuh bagi meningkatkan keberkesanan dalam pengurusan haiwan terbiar ini.
Sementara itu, pemilik haiwan turut diseru supaya bertanggungjawab terhadap penjagaan haiwan peliharaan masing-masing dan tidak membiarkan haiwan tersebut berkeliaran sehingga boleh menimbulkan gangguan dan mengancam keselamatan orang awam.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor meninjau lawatan ke Johor Bahru Stray Animal Sanctuary (JBSAS) di Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor Bahru baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#MBJB
#JohorSelamat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



