MAINJ PERUNTUKAN RM463.8 JUTA ZAKAT BANTU ASNAF DI JOHOR

YB Tuan Haji Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor,hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Barakah Zakat 2026 di Opero Hotel Southkey, Johor Bahru. | Foto MDJ Nazreen Aimie
#JohorBahru – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) terus memperkasa kebajikan golongan asnaf menerusi pengagihan dana zakat berjumlah RM463.8 juta pada tahun 2026 bagi membantu golongan yang memerlukan di seluruh Negeri Johor.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM246.3 juta diperuntukkan untuk golongan fakir dan miskin yang merangkumi bantuan sara hidup, perumahan, pendidikan, perubatan serta pelbagai keperluan asas kehidupan yang lain, sekali gus dapat membantu meringankan beban mereka dalam mendepani cabaran ekonomi pada masa ini.
Bagi memperkasakan lagi usaha membantu golongan asnaf ini, MAINJ turut melancarkan program Barakah Zakat 2026 bertemakan ‘Kira, Bayar, Berkat’ dengan menggabungkan pelbagai pendekatan fizikal dan digital, antaranya Jelajah Zakat, Jalinan Zakat Majikan, Zakat Payroll Challenge, Zakat NextGen, serta program bersama komuniti.
Program ini turut melibatkan penyampaian bantuan pendidikan kepada 15,270 anak asnaf yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3,208,480.
Selain itu, Kerajaan Johor turut menunjukkan keprihatinan dengan menyumbang keperluan makanan bernilai RM1,495,872 kepada pelajar bukan asnaf yang menduduki SPM pada tahun ini, sekali gus meringankan beban ibu bapa dalam memastikan kebajikan anak-anak mereka terus terpelihara.
Antara bantuan lain yang turut disumbangkan termasuklah Program Pembangunan Asnaf Industri Makanan berjumlah (RM60,000); Bantuan Perubatan Kompilasi Tulang Belakang (RM25,750); Bantuan Bina Rumah Baharu (RM100,000) serta Baik Pulih Bangunan Pusat Jagaan Sinar Kasih dengan jumlah sumbangan tahunan bernilai RM142,000.
Terdahulu, YB Tuan Haji Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Barakah Zakat 2026 di Opero Hotel Southkey, Johor Bahru.
#JohorSafeZone
#MAINJ
#BarakahZakat2026
#Zakat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



