118 USAHAWAN DUN BATU PAHAT TERIMA MANFAAT BANTUAN PERALATAN PERNIAGAAN YPKDT

Bantuan berupa peralatan perniagaan dihantar secara terus ke kediaman setiap penerima di seluruh daerah Batu Pahat bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan sampai kepada golongan sasar, sekali gus menyokong pembangunan usahawan kecil di Negeri Johor. | Foto Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim
#BatuPahat– Seramai 118 usahawan di sembilan kawasan Dewan Negeri (DUN) di bawah daerah Batu Pahat menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Peralatan Asas Perniagaan (BPAP@SKIPP) yang diselaraskan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).
Bagi tujuan itu, sebanyak RM260,810 diperuntukkan khusus untuk pelaksanaan BPAP@SKIPP daripada jumlah keseluruhan RM2.5 juta di bawah Program Pemberdayaan Wanita dan Golongan Sasar (PINTAR), sekali gus membantu usahawan kecil meningkatkan keupayaan operasi serta mengembangkan perniagaan masing-masing.
Penyerahan yang melibatkan DUN Semerah, DUN Sri Medan, DUN Yong Peng, DUN Semarang, DUN Parit Yaani, DUN Parit Raja, DUN Penggaram, DUN Senggarang dan DUN Rengit telah dilaksanakan secara berperingkat bermula sejak 19 Oktober hingga 4 November 2026.
Bantuan berupa peralatan perniagaan berkenaan turut dihantar secara terus ke kediaman setiap penerima di seluruh daerah Batu Pahat bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan sampai kepada golongan sasar, sekali gus menyokong pembangunan usahawan kecil di Negeri Johor.
Antara peralatan yang disediakan menerusi inisiatif ini merangkumi pelbagai keperluan perniagaan termasuk Peti Sejuk Beku Tegak, Peti Sejuk, Mesin Pengadun B10 dan B20, Peralatan Spa serta Mesin Jahit Industri bagi menyokong kelancaran operasi perniagaan.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Johor melalui YPKDT dalam memperkasa ekonomi wanita dan golongan usahawan kecil melalui penyediaan peralatan perniagaan yang bersesuaian bagi meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti pada masa akan datang.
#JohorSafeZone
#YPKDT
#UsahawanJohor
#BPAP2026
#BatuPahat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


