DAYONE PERKUKUH SUMBER AIR ALTERNATIF, SOKONG PERTUMBUHAN PUSAT DATA JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika di DayOne Kempas Tech Park (KTP) Data Center. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Johor terus memperkukuh kesiapsiagaan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan industri pusat data apabila DayOne Data Centers Limited (DayOne) memperluas kemudahan loji rawatan air di Kempas Tech Park (KTP) bagi meningkatkan kapasiti air yang dirawat sendiri kepada 20 juta liter sehari.
Loji berkenaan merupakan kemudahan pertama seumpamanya di Malaysia yang mengambil dan merawat air sungai di lokasi bagi kegunaan sistem penyejukan pusat data dengan menggunakan teknologi membran ultraturasan yang dibangunkan secara tempatan.
Beroperasi sejak Mac 2026, loji Fasa 1 telah menyediakan kapasiti melebihi keperluan semasa, sekali gus membolehkan kampus KTP tidak lagi bergantung kepada bekalan air minuman daripada rangkaian bekalan perbandaran bagi keperluan penyejukan pusat data, manakala Fasa 2 dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2027.
Pelaksanaan inisiatif ini turut melibatkan kerjasama dan penyelarasan bersama Ranhill SAJ, Permodalan Darul Ta’zim (PDT) serta Johor Special Water dalam memperkukuh pengurusan sumber air bagi menyokong pertumbuhan industri pusat data di Johor.
Kerjasama tersebut juga membuka ruang untuk meneroka potensi penggunaan lebihan air industri yang dirawat bagi kegunaan komuniti, tertakluk kepada kesesuaian proses, piawaian dan keperluan teknikal yang ditetapkan.
Pada masa sama, sehingga September 2026, DayOne telah merealisasikan kira-kira RM25 bilion pelaburan di Johor dengan jumlah keseluruhan dijangka mencecah RM28 bilion menjelang akhir tahun ini, selain mewujudkan kira-kira 750 pekerjaan berkemahiran tinggi termasuk 432 rakyat Johor dengan gaji minimum sekitar RM4,000 sebulan.
Jumlah tenaga kerja DayOne di Johor turut disasarkan meningkat kepada 1,200 orang menjelang 2027, sekali gus memperluaskan lagi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan, selari dengan pertumbuhan pesat industri pusat data dan ekonomi digital negeri.
Pendekatan ini memperlihatkan komitmen DayOne untuk terus memastikan pertumbuhan pusat data di Johor turut disokong perancangan awal terhadap sumber kritikal, pembangunan infrastruktur alternatif serta pengurusan sumber yang lebih mampan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menyempurnakan perasmian Sumber Air Alternatif di DayOne Kempas Tech Park (KTP) Data Center, hari ini.
Hadir sama, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor; YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor serta YBhg Puan Jamie Khoo, Ketua Pegawai Eksekutif DayOne.
#JohorSafeZone
#SumberAirAlternatif
#DayOne
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



