KERAJAAN JOHOR PERKUKUH SYIAR ISLAM, PETUGAS AGAMA TERUS DIHARGAI

Pada Mei tahun ini, Kerajaan Negeri memperluas BKJ Fasa Keempat kepada 22 inisiatif dengan peruntukan RM138 juta yang memanfaatkan lebih 600,000 Bangsa Johor, termasuk bantuan tunai sekali bayar RM200 kepada 30,000 ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau dengan peruntukan RM6 juta sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan petugas agama terus terbela dilihat mampu untuk terus memperkukuh institusi masjid dan surau sebagai nadi pembangunan masyarakat Islam di Johor.
Menerusi Belanjawan Johor 2026, sebanyak RM8.8 juta telah diumumkan pada tahun lalu bagi inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) kepada Pegawai Masjid dan Surau, Penggerak DUN, Guru Al-Quran, Guru Takmir serta Penyelia Al-Quran yang telah memanfaatkan seramai 8,813 penerima dengan setiap seorang menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000.
Jamaluddin Kalam, Pengerusi Masjid Jamek Gelang Patah menyifatkan pelaksanaan inisiatif BKJ sebagai satu bentuk penghargaan Kerajaan Johor terhadap peranan dan sumbangan pegawai masjid serta surau yang selama ini menjadi penggerak utama dalam menyemarakkan institusi masjid dan surau.
Hanitah Mohd Noor, Guru Al-Quran Daerah Kluang pula menyifatkan bantuan BKJ menjadi suntikan semangat untuk terus menabur bakti dalam memperkukuh pendidikan al-Quran di peringkat komuniti, selain membuktikan keprihatinan Kerajaan Johor terhadap kebajikan dan pengorbanan golongan pendidik agama.
Manakala bagi Abdullah Samit, Bilal Masjid Jamek As-Syakirin Bukit Saujana, Johor Bahru, perhatian terhadap pembangunan masjid, surau dan pengurusan hal ehwal agama sebagai antara usaha penting yang membantu meningkatkan pengimarahan institusi berkenaan, sekali gus menggalakkan lebih ramai masyarakat mendekatkan diri dengan masjid.
Untuk rekod, pada Mei tahun ini juga, Kerajaan Negeri memperluas pelaksanaan BKJ kepada 22 inisiatif pada Fasa Keempat dengan peruntukan keseluruhan RM138 juta yang memberi manfaat kepada lebih 600,000 Bangsa Johor.
Ia termasuk bantuan tunai sekali bayar (one-off) sebanyak RM200 kepada Jawatankuasa Masjid dan Surau dengan peruntukan sebanyak RM6 juta yang melibatkan seramai 30,000 penerima bagi menghargai peranan mereka dalam menggerakkan aktiviti serta pengurusan institusi masjid dan surau.
Kesinambungan pelaksanaan pelbagai inisiatif ini membuktikan pembangunan Johor bukan hanya tertumpu kepada kemajuan ekonomi dan fizikal semata-mata, malah ia juga turut memberi penekanan terhadap kebajikan rakyat, pembangunan institusi agama serta pengukuhan institusi masyarakat.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#PetugasAgama
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


