POLIS BURU KUMPULAN LELAKI BAKAR MERCUN ATAS JALAN RAYA

Kejadian tersebut dikesan oleh Polis Daerah Johor Bahru Utara kira-kira jam 1.30 pagi, 8 November 2026 menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook yang memaparkan sekumpulan lelaki sedang membakar mercun di atas jalan raya utama di kawasan berkenaan. | Kenyataan Media Polis Daerah Johor Bahru Utara
#IskandarPuteri – Polis Johor kini sedang giat mengesan sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pembakaran mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai yang tular di media sosial, awal pagi semalam.
Kejadian tersebut dikesan oleh Polis Daerah Johor Bahru Utara kira-kira jam 1.30 pagi, 8 November 2026 menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook yang memaparkan sekumpulan lelaki sedang membakar mercun di atas jalan raya utama di kawasan berkenaan.
Bertindak berdasarkan maklumat tersebut, sepasukan anggota polis hadir ke lokasi kira-kira jam 1.45 pagi untuk menjalankan pemeriksaan, namun mendapati kumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan telah meninggalkan lokasi dan hanya menemui kesan pembakaran mercun.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan gopoh atau cuai melibatkan bahan letupan sehingga boleh membahayakan nyawa atau menyebabkan kecederaan kepada orang lain.
Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung perbuatan memberhentikan atau membiarkan kenderaan berhenti di jalan raya sehingga mendatangkan bahaya, halangan atau kesusahan kepada pengguna jalan raya lain.
Pihak polis kini giat mengesan semua individu yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan, serta menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Orang ramai turut diingatkan agar tidak membakar mercun di atas jalan raya kerana perbuatan tersebut boleh mengundang risiko kemalangan dan kecederaan kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Polis memandang serius kejadian seumpama itu dan tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang boleh membahayakan keselamatan awam, manakala sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


