7,597 PATI DITAHAN, JOHOR PERKUKUH OPERASI BERSEPADU

Dalam tempoh sama, seramai 370 majikan dan individu berkaitan turut ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kesalahan yang melibatkan PATI di negeri ini. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Sebanyak 7,597 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan di Johor dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober tahun ini, menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap isu warga asing.
Dalam tempoh sama, seramai 370 majikan dan individu berkaitan turut ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kesalahan yang melibatkan PATI di negeri ini.
Justeru, tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasa menerusi kerjasama bersepadu antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pendekatan ini turut memberi tumpuan kepada kesalahan melibatkan pelanggaran pas masuk, tinggal lebih masa daripada tempoh yang dibenarkan, ketiadaan dokumen sah serta pihak yang membantu atau melindungi kehadiran PATI secara tidak sah.
Majikan dan pemilik premis yang menggajikan, melindungi atau menyediakan kemudahan kepada PATI tanpa mematuhi peraturan akan dikenakan tindakan berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Penguatkuasaan ini turut diperkukuh menerusi operasi berasaskan risikan, aduan awam dan pemetaan risiko, selain pemeriksaan susulan terhadap premis yang pernah dikenakan tindakan sebelum ini.
Langkah bersepadu ini penting bagi memastikan pengurusan tenaga kerja asing di Johor dapat dilaksanakan secara teratur, terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan serta kepentingan masyarakat setempat.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Isu Warga Asing Negeri Johor bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan, pematuhan penggajian serta pengurusan penginapan pekerja asing di negeri ini.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


