KERAJAAN JOHOR BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP AKAUN MENCURIGAKAN

Tangkap layar sejumlah akaun media sosial mencurigakan yang memuat naik pelbagai dakwaan dan fitnah berkaitan projek pembangunan serta kemudahan awam di negeri ini.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor membuat laporan polis dan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kewujudan sejumlah akaun media sosial mencurigakan yang memuat naik pelbagai dakwaan dan fitnah berkaitan projek pembangunan serta kemudahan awam di negeri ini.
Tindakan itu susulan terdapat sejumlah hantaran yang menggunakan ayat dan naratif hampir sama, termasuk mendakwa wujudnya projek bernilai ratusan juta ringgit serta menyebut nama syarikat yang pelik dan meragukan.
Lebih mencurigakan, sebahagian besar akaun media sosial berkenaan juga tidak mempunyai sebarang pengikut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesahihan akaun dan tujuan sebenar kandungan tersebut disebarkan.
Laporan polis dan aduan kepada MCMC dibuat bagi membolehkan perkara itu disiasat, termasuk kesahihan akaun, kandungan yang disebarkan serta kemungkinan wujudnya aktiviti yang dilakukan secara berkoordinasi.
Kerajaan Negeri pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, sentiasa terbuka menerima teguran, kritikan dan aduan daripada Bangsa Johor serta memastikan setiap aduan yang diterima disemak dan diambil tindakan.
Bagaimanapun, penggunaan akaun media sosial palsu untuk mereka-reka cerita atau menyebarkan fitnah bagi menghasut dan mengelirukan rakyat tidak boleh dipandang ringan, khususnya dalam musim pilihan raya.
Kerajaan Negeri turut menasihatkan semua Bangsa Johor supaya sentiasa berhati-hati dan menyemak kesahihan setiap maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Pada masa sama, budaya politik yang matang dan bertanggungjawab perlu terus diamalkan dengan perbezaan pandangan, kritikan dan ketidaksetujuan disampaikan secara berfakta tanpa menjadikannya alasan untuk menyebarkan fitnah atau cuba mengelirukan rakyat.
Tindakan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Johor untuk memastikan ruang digital ini dapat digunakan secara bertanggungjawab serta melindungi keharmonian dan kemakmuran Bangsa Johor daripada penyebaran maklumat yang tidak sahih.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



