FESTIVAL DESARUKU 2026: MERAIKAN KOMUNITI, MENGHIDUPKAN EKONOMI TEMPATAN

YBhg. Tuan Haji Miswan Yunus, Pegawai Daerah Kota Tinggi hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Festival DesaKu 2026 di Tanjung Balau, Kota Tinggi.
#KotaTinggi– Keindahan Desaru bukan hanya terletak pada pantai dan destinasi pelancongannya, tetapi juga pada masyarakat, budaya, warisan dan keunikan kehidupan setempat yang membentuk identiti kawasan ini.
Semangat inilah yang diraikan menerusi Festival DesaruKu 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini di Pantai Tanjung Balau, dengan membawa tema “Ini Desaru Kita”.
Festival ini menghimpunkan usahawan tempatan, penggiat seni, golongan belia dan komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti kebudayaan, rekreasi, makanan, kreativiti dan hiburan.
Melalui segmen Pasar DesaruKu, Kampung DesaruKu, Aktif DesaruKu, Pentas DesaruKu dan DesaruKu Nights, pengunjung berpeluang mengenali Desaru dengan lebih dekat, termasuk hasil usaha, bakat dan kreativiti masyarakatnya sendiri.
Bagi Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), pembangunan pelancongan perlu bergerak seiring dengan kesejahteraan masyarakat. Kejayaan Desaru sebagai destinasi pelancongan tidak seharusnya diukur melalui jumlah pengunjung semata-mata, tetapi juga melalui peluang ekonomi yang diwujudkan, penglibatan komuniti dan peningkatan kualiti hidup penduduk setempat.
Pendekatan ini turut menjadi antara penekanan dalam penyediaan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Desaru 2035, yang memberi perhatian kepada pembangunan pelancongan, pemeliharaan identiti tempatan serta hubungan yang lebih baik antara destinasi, kawasan perniagaan dan penempatan komuniti.
Festival DesaruKu 2026 dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dengan kerjasama MPP, Desaru Development Holdings One (DH1) selaku pemaju induk Desaru Coast serta Think City sebagai fasilitator.
Kerjasama ini diharapkan dapat diteruskan melalui lebih banyak inisiatif yang membuka ruang kepada masyarakat tempatan untuk mengambil bahagian dan menikmati manfaat daripada pertumbuhan Greater Desaru.
Festival ini turut menampilkan Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bersasar Wilayah Selatan di bawah Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pembangunan mampan.
Terdahulu, YBhg. Tuan Haji Miswan Yunus, Pegawai Daerah Kota Tinggi hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Festival DesaKu 2026 di Tanjung Balau, Kota Tinggi.
Sementara itu, pembangunan Desaru yang semakin berkembang dan dikenali turut membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk terus maju, sekali gus mengekalkan identiti serta keistimewaan komuniti yang menjadi sebahagian daripada kekuatan dan tarikan Desaru.
#JohorSafeZone
#FestivalDesaruKu2026
#IniDesaruKita
#GreaterDesaru
#PengerangKita
#MPP
#KEJORA
#DesaruCoast
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


