KEMENANGAN DRAMATIK BAWA ‘YOUNG TIGERS’ KE FINAL SOJC 2026

Kemenangan dramatik Young Tigers itu melengkapkan rekod tiga kemenangan berturut-turut skuad negara selepas menewaskan Jepun 4-2 semalam, sekali gus mengukuhkan momentum Malaysia menjelang aksi final pada Sabtu ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Skuad hoki remaja kebangsaan mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Pakistan 3-2, sekali gus mengesahkan tempat ke final Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 di Stadium Hoki Taman Daya, malam ini.
Kemenangan dramatik Young Tigers itu melengkapkan rekod tiga kemenangan berturut-turut skuad negara selepas menewaskan Jepun 4-2 semalam, sekali gus mengukuhkan momentum Malaysia menjelang aksi final pada Sabtu ini.
Malaysia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Naaveennash Panicker pada minit ke-20, namun Pakistan bangkit menyamakan kedudukan menerusi Adeel Afzal pada minit ke-36 sebelum pemain itu sekali lagi meledak gol untuk meletakkan pasukannya di hadapan.
Ketika kemenangan seakan-akan memihak kepada Pakistan, Muhammad Safwan Salihe merobek gawang lawan untuk mengikat kedudukan 2-2, sebelum Naaveennash muncul wira negara dengan jaringan reverse hit yang memastikan kemenangan 3-2 buat Young Tigers.
Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Ketua Jurulatih Malaysia menyifatkan pengalaman bangkit daripada ketinggalan dalam perlawanan sengit itu sebagai pengajaran penting buat pemain muda negara untuk terus berjuang ketika berdepan tekanan di atas padang.
Kejayaan melangkah ke final turut menjadi detik bermakna buat skuad negara yang kini berpeluang memburu kejuaraan SOJC selepas sekian lama tidak beraksi di pentas akhir kejohanan berprestij itu.
Malaysia dijadualkan menentang Kanada dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Jumaat ini sebelum turun berentap di final pada hari berikutnya, dengan pengurusan kecergasan dan penggiliran pemain menjadi antara pertimbangan utama pasukan.
Young Tigers kini menanti lawan di pentas final, dengan Pakistan dan Jepun antara pasukan yang berpotensi menjadi pencabar dalam perebutan gelaran juara SOJC 2026.
#JohorSafeZone
#SukanMDJ
#HokiPialaSultanJohor
#JohorSportsNation
#XtifJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


