IRDA LANTIK DATO’ ASHARI KASNAN SEBAGAI KETUA EKSEKUTIF BAHARU

YB Dato’ Ashari mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam Negeri Johor, meliputi bidang pentadbiran tanah, pentadbiran daerah, pembangunan institusi, keusahawanan dan pembangunan ekonomi negeri. | Foto Iskandar Malaysia
#IskandarPuteri – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) melantik YB Dato’ Ashari Kasnan sebagai Ketua Eksekutif baharu berkuat kuasa 1 November 2026, menggantikan YB Dato’ Mohd. Noorazam Osman yang telah memegang jawatan itu sejak 1 Januari 2025.
Pelantikan tersebut diumumkan IRDA hari ini, ketika Iskandar Malaysia sedang melangkah ke fasa pembangunan seterusnya selepas mencapai dua dekad penubuhannya pada 2006.
YB Dato’ Ashari mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam Negeri Johor, meliputi bidang pentadbiran tanah, pentadbiran daerah, pembangunan institusi, keusahawanan dan pembangunan ekonomi negeri.
Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J’Biotech) serta J-Biotech Holdings Sdn. Bhd., selain pernah memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta Pegawai Daerah Mersing.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Negeri IRDA dari 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2017, sekali gus memberikan pendedahan langsung terhadap proses pemudahcaraan pelaburan, keutamaan pembangunan wilayah dan pelaksanaan projek di Iskandar Malaysia.
Dalam peranan baharu itu, beliau akan menerajui usaha IRDA untuk memudah cara pelaburan strategik, memperkukuh daya saing ekonomi wilayah serta memacu pembangunan yang seimbang, inklusif dan mampan menerusi kerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, sektor swasta serta pihak berkepentingan.
Pelantikan tersebut turut menjadi sebahagian daripada kesinambungan usaha pembangunan Iskandar Malaysia dalam memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing.
#JohorSafeZone
#IskandarMalaysia
#IRDA
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


