SEKOLAH JOHOR BEROPERASI SECARA BERFASA, PASTIKAN PEPERIKSAAN BERJALAN LANCAR

Kenyataan media YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan menyelaras pengoperasian semula sekolah secara berfasa mulai 26 Oktober 2026 bagi memastikan kelancaran peperiksaan selari titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan Bangsa Johor.
Bagi Fasa Pertama, sekolah akan dibuka pada 26 dan 27 Oktober 2026 (Isnin dan Selasa) dengan kehadiran akan dihadkan kepada murid yang perlu menduduki peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan.
Tempoh dua hari itu turut memberi ruang kepada pihak pentadbiran sekolah dan guru-guru membuat persiapan bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) mengikut jadual yang telah ditetapkan, jelas YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
Fasa Kedua pula akan bermula pada 28 Oktober 2026 (Rabu) dengan semua sekolah di seluruh Johor dijadualkan beroperasi sepenuhnya seperti biasa, tertakluk kepada perkembangan semasa kualiti udara.
Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyelaras pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan termasuk pemakaian pelitup muka serta pemantauan aktiviti persekolahan berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa.
Justeru, Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu secara berterusan bagi memastikan sebarang tindakan lanjut dapat dilaksanakan berdasarkan penilaian keadaan semasa.
#JohorSafeZone
#Jerebu
#SekolahJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


