MALAYSIA JUARA SOJC 2026, TAMATKAN KEMARAU 15 TAHUN

Malaysia menamatkan penantian 15 tahun untuk kembali bergelar juara Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 selepas menewaskan Pakistan 4-3 menerusi penentuan shoot-out, susulan keputusan seri 2-2 dalam aksi final di Stadium Hoki Taman Daya, malam ini. | Foto SOJC
#JohorBahru – Malaysia akhirnya menamatkan kemarau kejuaraan selama 15 tahun apabila muncul juara kejohanan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 selepas menewaskan Pakistan 4-3 menerusi penentuan shoot-out, susulan keputusan seri 2-2 dalam aksi final di Stadium Hoki Taman Daya, malam ini.
Skuad hoki remaja kebangsaan kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin bangkit daripada ketinggalan dua gol selepas Pakistan mendahului menerusi jaringan Rana Waleed dan Muhammad Usman, sebelum Adam Johari merapatkan jurang menerusi biasan bola hasil pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 1-2 pada separuh masa pertama.
Malaysia terus memperkemas permainan pada separuh masa kedua dan berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Naaveenesh Panicker yang menyempurnakan pukulan sudut penalti, namun kedua-dua pasukan gagal menghasilkan jaringan tambahan sehingga tamat masa permainan.
Penentuan shoot-out menyaksikan penjaga gol negara, Mohamad Adib Amsyar, menjadi watak penting apabila berjaya menyelamatkan dua pukulan shoot-out Pakistan bagi memberikan kelebihan kepada Malaysia.
Young Tigers memanfaatkan peluang itu menerusi jaringan Adam Asyraff Johari, Gagandeep Aphthar Singh dan M. Rahuul sebelum Aferullsyah Ahmad Azuan Syahril menyempurnakan pukulan untuk mengesahkan kemenangan 4-3 dalam penentuan shoot-out.
Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Ketua Jurulatih Malaysia, menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil persiapan pasukan yang baik, selain berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain meskipun beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan gagal disempurnakan pada perlawanan akhir berkenaan.
Beliau turut menyatakan bahawa persembahan Malaysia pada suku ketiga menunjukkan peningkatan apabila pasukan berjaya menjaringkan gol, manakala pengalaman beraksi dalam perlawanan sengit itu menjadi pengajaran penting buat pemain muda dalam usaha membentuk mereka sebagai pemain kebangsaan pada masa hadapan.
Trofi kejuaraan SOJC 2026 disampaikan oleh YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, kepada Nabil Irfan Mohd Yusof, kapten Young Tigers.
#JohorSafeZone
#SukanMDJ
#HokiPialaSultanJohor
#JohorSportsNation
#XtifJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


