JOHOR SASAR 26,000 PELUANG PEKERJAAN DITAWARKAN TAHUN INI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, pada Majlis Penutupan JTDC Mega Job Fair & Connect 2026 yang dianjurkan oleh JTDC menerusi Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI). | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Sebanyak 26,000 peluang pekerjaan dijangka ditawarkan di seluruh Johor pada tahun ini, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada anak muda untuk membina kerjaya dan memperoleh pendapatan di negeri sendiri.
Jumlah peluang pekerjaan di Johor pula menunjukkan trend peningkatan daripada 15,000 pada 2022 kepada 17,000 pada 2024 dan 24,000 pada 2025. Ia secara tidak langsung mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperluas peluang kerjaya dan menyokong sasaran 200,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2030.
Peningkatan peluang pekerjaan ini seiring dengan prestasi ekonomi Johor yang mencatatkan pertumbuhan lapan peratus pada 2025, tertinggi dalam negara, selain merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM110 bilion, juga tertinggi di peringkat nasional.
Perkembangan ekonomi dan kemasukan pelaburan itu kini sedang diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat menerusi usaha Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dalam memperluas akses kepada pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan dan membuka peluang kerjaya berkemahiran tinggi.
Selain itu, penganjuran JTDC Mega Job Fair & Connect 2026 selama tiga hari dari 23 hingga 25 Oktober di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Iskandar Puteri, telah menghimpunkan 44 majikan yang menawarkan lebih 3,000 kekosongan jawatan, dengan 60 peratus daripadanya melibatkan pekerjaan bergaji premium.
Program itu turut menyediakan proses temu duga secara langsung, klinik penyediaan resume, khidmat nasihat kerjaya dan saringan awal calon bagi membantu pencari kerja memahami keperluan industri serta meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.
Usaha memperluas peluang kerjaya di Johor turut menyokong matlamat supaya anak muda tidak perlu lagi berhijrah ke Singapura, Kuala Lumpur atau negeri lain, hanya semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan dan membina masa depan.
Bagi memastikan peluang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya, kerjasama antara Kerajaan Negeri, agensi berkaitan, institusi pendidikan dan pemain industri perlu diperkukuh supaya pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan selari dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa dan masa hadapan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, merasmikan penutupan JTDC Mega Job Fair & Connect 2026 yang dianjurkan oleh JTDC menerusi Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI).
#JohorSafeZone
#JTDC
#KerjayaJohor
#PeluangPekerjaan
#GajiPremium
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



