PROJEK TEBATAN BANJIR SUNGAI KESANG MENUNJUKKAN PERKEMBANGAN POSITIF

Komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh infrastruktur tebatan banjir akan terus dipergiat menerusi pemantauan dan penyelarasan bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan penduduk serta mengurangkan impak bencana banjir di kawasan terlibat. | Foto FB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Kesang, Tangkak bernilai kira-kira RM126 juta mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 43.94 peratus, mengatasi jadual asal 43.50 peratus yang dirancang sebelum ini.
Perkembangan itu dimaklumkan menerusi tinjauan tapak oleh YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, bagi meneliti tahap kemajuan pelaksanaan projek serta penyelarasan kaedah kerja mendalamkan dan melebarkan Sungai Kesang khususnya membabitkan kawasan di bawah jambatan Lebuhraya AMJ.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah kaedah pelaksanaan kerja yang perlu mengambil kira keselamatan struktur jambatan serta kelancaran pergerakan trafik, memandangkan laluan berkenaan digunakan kira-kira 27,000 pengguna.
Selain itu, dua pilihan pelaksanaan sedang dipertimbangkan, iaitu mengalihkan trafik kedua-dua arah ke jambatan sementara dua lorong dua hala (Medium Traffic Bridge) atau menggunakan dua lorong di bahagian Lebuhraya AMJ yang masih dibuka bagi pergerakan trafik dua hala.
Bagaimanapun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri, termasuk potensi peningkatan kesesakan sekiranya trafik dialihkan ke jambatan sementara serta tempoh pembinaan yang lebih panjang sekiranya kerja pengorekan dan pelebaran sungai dilaksanakan secara berperingkat.
Projek berkenaan dijangka membantu mengurangkan risiko banjir kepada kira-kira 5,000 penduduk di kawasan terlibat di Tangkak dan Melaka, manakala kerja reka bentuk serta pengambilan tanah telah selesai dilaksanakan.
Penyelarasan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan akan diteruskan bagi memastikan kaedah pelaksanaannya kelak akan turut mengambil kira aspek keselamatan pengguna, kelancaran trafik dan tempoh pembinaan, manakala pengguna Lebuhraya AMJ akan dimaklumkan lebih awal sebaik sahaja kaedah pelaksanaan kerja dimuktamadkan.
Komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh infrastruktur tebatan banjir akan terus dipergiat menerusi pemantauan dan penyelarasan bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan penduduk serta mengurangkan impak bencana banjir di kawasan terlibat.
#InfrastrukturJohor
#RancanganTebatanBanjirJohor
#RTBSungaiKesang
#RTB
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



