JOHOR SASAR TINGKAT KUALITI AIR SUNGAI TERCEMAR MENERUSI RAWATAN ECO ENZYME

Kerajaan Johor bersama Eco Enzyme Malaysia melaksanakan projek rintis penggunaan eco enzyme bagi memulihkan kualiti air di Sungai Sengkuang, Sungai Segget dan Sungai Danga yang dikenal pasti tercemar pada tahap kelas empat dan lima. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Inisiatif pemulihan kualiti air sungai tercemar di Johor Bahru kini diperkasakan menerusi penggunaan bahan semula jadi eco enzyme yang akan disalurkan secara berkala ke Sungai Sengkuang, Sungai Segget dan Sungai Danga sebagai salah satu pendekatan rawatan secara ekologi.
Kerjasama antara Kerajaan Johor dan Eco Enzyme Malaysia itu dilaksanakan sebagai projek rintis bagi menilai keberkesanan penggunaan cecair tapai eco enzyme dalam meningkatkan kualiti air sungai, khususnya sungai yang sebelum ini dikenal pasti berada pada tahap pencemaran kelas empat dan lima.
Menurut YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, ketiga-tiga sungai berkenaan merupakan antara tujuh sungai di Johor yang masih tersenarai sebagai sungai tercemar berdasarkan laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada awal tahun ini.
Sungai berkenaan dipilih sebagai lokasi pelaksanaan inisiatif itu kerana kedudukannya di kawasan bandar yang dikelilingi kawasan perumahan dan komersial, sekali gus menyebabkan aliran air sungainya terdedah kepada pelbagai pencemaran seperti sisa buangan aktiviti harian penduduk, premis perniagaan serta pelepasan air kumbahan.
Menerusi inisiatif itu, sebanyak 500 liter cecair tapai eco enzyme akan disalurkan pada setiap Khamis secara percuma oleh pihak Eco Enzyme Malaysia, manakala agensi kerajaan akan menyediakan kemudahan dari segi lokasi dan logistik bagi memastikan pelaksanaan program berkenaan dapat berjalan lancar sebagaimana yang dirancang.
Pelaksanaan fasa pertama dijadualkan berlangsung selama dua bulan, sebelum keberkesanannya dinilai menerusi pengambilan sampel air secara berkala oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk dianalisis di makmal dengan pemantauan keseluruhan diteruskan selama enam bulan.
Inisiatif berkenaan menyasarkan peningkatan kualiti air sekurang-kurangnya ke Kelas Tiga bagi membolehkan sungai terlibat dikeluarkan daripada senarai sungai tercemar, memandangkan eco enzyme yang dihasilkan ini terdiri daripada sisa sayur-sayuran dan bahan organik yang memerlukan jangka masa tertentu untuk melalui tempoh proses rawatan secara semula jadi.
Sehubungan itu, penduduk yang tinggal berhampiran sungai terlibat diseru supaya sentiasa memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaan program, termasuk memahami kemungkinan berlaku sedikit perubahan bau ketika proses rawatan berkenaan berlangsung.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, jumlah sungai tercemar di Johor menunjukkan penurunan daripada 28 sungai pada 2017 kepada tujuh sungai pada tahun 2026. Ia adalah hasil daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sebelum ini termasuk aspek penguatkuasaan, penambahbaikan loji serta usaha pembersihan oleh agensi berkaitan.
Terdahulu, Majlis Pelancaran Program Pemulihan Sungai Sengkuang, Segget dan Danga berlamgsung di Jalan Batik, Taman Sentosa, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah YB Dato’ Sr. Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad, Datuk Bandar MBJB, wakil daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Indah Water Konsortium (IWK), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), JAS serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Lions Club dan Eko Enzyme Malaysia.
#AlamSekitar
#EcoEnzymeMalaysia
#SungaiSengkuang
#SungaiSegget
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


