POLIS JOHOR TAHAN TIGA LELAKI, ENAM AKAN DIDAKWA KES BAKAR MERCUN

Tangkapan pada 10 November 2026 kira-kira jam 4.30 pagi itu dibuat oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Johor Bahru Utara, selain beberapa rampasan turut dibuat di sekitar Skudai. | Kenyataan Media Polis Daerah Johor Bahru Utara
#IskandarPuteri – Polis Johor menahan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 19 hingga 23 tahun dalam tangkapan susulan berhubung kejadian pembakaran mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai yang tular di media sosial baru-baru ini.
Tangkapan yang dibuat kira-kira jam 4.30 pagi, 10 November 2026 itu dilakukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, selain beberapa barang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian terbabit turut dirampas di sekitar Skudai.
Tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan berhubung kejadian berkenaan seramai tujuh orang, susulan penahanan empat lelaki warga tempatan sebelum ini.
Hasil semakan mendapati dua daripada tiga suspek terbaharu mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah serta dadah, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, dengan empat suspek akan dituduh mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi akan didakwa di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seorang lagi daripada tujuh individu yang ditahan telah dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan, menjadikan enam suspek akan berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 11 November 2026.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula boleh dikenakan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara antara satu hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


