1,064 PELARI DENAI GEGARKAN GUNUNG PULAI


Upacara pelepasan larian Trans QJM Gunung Pulai Ultra 2024 telah disempurnakan YBhg. Fizwan Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah


Buat julung kalinya program larian denai bertaraf antarabangsa, Trans QJM Gunung Pulai Ultra 2024 diadakan di daerah Kulai dan berjaya menghimpunkan 1,064 pelari denai tempatan dan luar negara melibatkan empat kategori menguji trek dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Pulai.

 

Daripada jumlah tersebut, seramai 841 orang merupakan peserta tempatan manakala 223 orang pula peserta luar negara yang mencabar ketahanan diri dalam kategori Gunung Pulai Vertical Run membabitkan jarak 10 kilometer (km) diikuti Trans Q (20 km), Trans QJM Pro (30 km) dan Trans QJM Ultra (50 km).

 

Program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Mountain Goat Events yang berlangsung selama dua hari itu menterjemahkan komitmen Kerajaan Negeri menganjurkan acara sukan lasak bertaraf antarabangsa.

 

Lebih manis, pemilihan Kulai sebagai lokasi penganjuran program adalah sempena meraikan Ulang Tahun Ke-20 MPKu pada tahun ini, selain menjadi antara usaha untuk memperkenalkan Taman Eko Rimba Gunung Pulai sebagai kawasan tarikan bagi aktiviti pendakian terdapat di daerah berkenaan.

 

Inisiatif JPNJ menganjurkan acara sukan lasak ‘trail running’ ekstrem dan taktikal yang memberikan cabaran mental, fizikal dan kekentalan peminat larian denai di taman eko rimba itu juga mempromosikan produk ekopelancongan terdapat di negeri ini sekali gus mengangkat nama Johor ke persada antarabangsa.

 

Pada masa sama, laluan yang berliku, licin dan berbukit yang mencabar adrenalin terdapat di Gunung Pulai itu turut menerima cadangan daripada jurulatih tempatan untuk dijadikan sebagai pusat latihan kepada altlet serta pelari denai lokal di samping lokasi aktiviti riadah pengunjung.

 

Menerusi penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu telah menghadirkan limpahan manfaat dari sudut sosioekonomi kepada penduduk menerusi tempahan inap desa serta menyokong gerai makanan dan minuman di samping meningkatkan imej positif kawasan perkampungan di kaki gunung berkenaan.

 

Terdahulu, upacara pelepasan larian Trans QJM Gunung Pulai Ultra 2024 telah disempurnakan YBhg. Fizwan Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor. Turut hadir, YBhg. Dato’ Salim Aman, Pengarah Perhutanan Negeri Johor dan Mohd Fahmi Salam, Yang Dipertua MPKu.

 

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas

#MajuJohor