299 PENEROKA, 170 GENERASI KEDUA TERIMA HAK PEMILIKAN TANAH

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor pada Majlis Penyampaian Hakmilik Peneroka Felda Pasak Peringkat 4 dan Notis 5A Generasi Kedua Felda Air Tawar 3. | Foto MDJ Wira Anggara
#KotaTinggi – Seramai 299 peneroka FELDA Pasak Peringkat 4 menerima geran pemilikan tanah manakala 170 generasi kedua Felda Air Tawar 3 turut menerima Notis 5A sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan peneroka dalam membangunkan kawasan tersebut serta membuka peluang kepada generasi kedua untuk memiliki lot tanah kediaman sendiri.
Penyerahan geran dan notis berkenaan secara tidak langsung membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjamin masa depan warga FELDA serta memastikan kesinambungan generasi dalam pengurusan tanah di tanah rancangan.
Selain itu, Kerajaan Negeri meletakkan sasaran 100 peratus peneroka FELDA menerima Hak Milik menjelang hujung tahun 2025. Bagi lot generasi FELDA pula, sebanyak 9,721 kelulusan telah diberikan, dengan 8,812 menerima Notis 5A dan 7,805 telah pun menerima Hak Milik sehingga hari ini.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan Majlis Penyampaian Hakmilik Peneroka Felda Pasak Peringkat 4 dan Notis 5A Generasi Kedua Felda Air Tawar 3 di Dewan Jubli Intan, Kota Tinggi.
Turut hadir ialah YB Cik Norliza Noh, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Johor Lama; YBrs. Puan Nurul Ashikin Haji A Jabar, Pentadbir Tanah Daerah Kota Tinggi; YBrs. Encik Hasbullah Firdaus Azmi, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Tanah Felda (Ibu Pejabat); dan YBrs. Encik Mahmud Ibrahim, Timbalan Pengarah Pejabat Felda Wilayah Johor Bahru.
Sementara itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM1.02 juta bagi Bantuan Kasih Johor kepada Ketua Blok FELDA, yang masing-masing akan menerima RM400, sekali gus memanfaatkan 2,548 pemimpin komuniti FELDA di seluruh Johor seperti diumumkan dalam Belanjawan Johor 2026.
#JohorSafeZone
#PenerokaFelda
#GenerasiKeduaFelda
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


