KEISTIMEWAAN LEMANG PERIUK KERA SEBAGAI JUADAH AIDILFITRI

Norizan Basri, Lemang Periuk Kera yang juga merupakan penerima Bantuan Peralatan Perniagaan daripada Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB). | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Mungkin kini ia dianggap agak asing, namun suatu ketika dahulu, Lemang Periuk Kera pernah dianggap satu kemestian di atas meja makan terutama sekali menjelang sambutan Aidilfitri.
Hidangan popular di Johor yang berasaskan tumbuhan eksotik ini mempunyai keistimewaan tersendiri menjadikan Lemang Periuk Kera menjadi antara juadah pilihan terutama ketika Aidilfitri selain dipasangkan lemang buluh tradisi yang lebih sinonim dengan masyarakat masa kini.
Hidangan unik ini dimasak dengan menggunakan tumbuhan periuk kera jenis betina sebagai bekas untuk mengisi pulut dan santan kerana bentuknya yang bulat serta lebar sebelum ia perlu dikukus selama 45 minit, sekali gus menghasilkan aroma serta rasa yang tersendiri yang pastinya membangkitkan selera.
Bagi Norizan Basri, 41, berkata bekalan kelongsong periuk kera kini dari daerah Segamat dan beberapa lokasi di Pahang serta mengakui cabaran utama dalam mengusahakan perniagaan ini ialah untuk mendapatkan bekalan tersebut yang kadangkala sukar untuk diperolehi, lebih-lebih lagi ketika musim hujan.
Bermula dengan sekadar memasarkan Lemang Periuk Kera di media sosial pada tahun 2019, perniagaan ini semakin mendapat sambutan terutamanya ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga mampu mencecah jualan sebanyak 10,000 lemang periuk kera di bulan Ramadan.
Menjelang Aidilfitri, para pelanggan kini boleh mendapatkan Lemang Periuk Kera yang sudah siap dimasak dan juga variasi sejuk beku dengan harga RM56 untuk 20 biji dan RM22 untuk 16 biji.
Selain menjual lemang pada setiap Ramadan beliau juga menjual ikan bakar, sotong dan anak ketam di gerai miliknya yang boleh ditemui di Bazar Ramadan Plaza Angsana, Johor Bahru.
Beliau juga optimis untuk mengembangkan lagi perniagaan Lemang Periuk Keranya pada masa akan datang terutama selepas mendapat suntikan semangat apabila turut menerima Bantuan Peralatan Perniagaan daripada Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) berupa sebuah mesin penyejuk bagi meringankan beban serta membantu peniaga tempatan sepertinya meningkatkan mutu perniagaan dan melebarkan lagi pasaran produk berkenaan kelak.
#JohorSafeZone
#HariRayaAidilfitri
#LemangPeriukKera
#PUJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



