BAKAT MUDA BADMINTON JOHOR CIPTA NAMA DI AFFIN-100PLUS JUNIOR ELITE TOUR 2026

YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor selaku Penaung Diraja Persatuan Badminton Negeri Johor berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Medal AFFIN-100PLUS Junior Elite Tour 2026.

 

#IskandarPuteri – YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor selaku Penaung Diraja Persatuan Badminton Negeri Johor berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Medal AFFIN-100PLUS Junior Elite Tour 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri.

 

Kejohanan berprestij yang menjadi medan utama bagi mencungkil bakat pemain muda baharu ini menyaksikan kontinjen Negeri Johor telah menghantar 82 pemain yang terdiri daripada umur Bawah 12, Bawah 14, dan Bawah 16 Tahun bagi mengumpul mata ranking dan mencipta nama di peringkat kebangsaan.

 

Ellis Ngi Cai Lin, pemain muda Johor muncul juara kategori Perseorangan Perempuan Bawah 16 Tahun selepas bekerja keras menidakkan lawannya di set penentuan dengan keputusan 21-12, 21-23 dan 21-19.

 

Selain itu, pasangan beregu Johor, Phua Ze Zuan-Goh Wei Zhan tidak berdepan masalah untuk menang ‘straight set’ 22-20, 21-16 dalam tempoh 35 minit, sekali gus ditabalkan sebagai juara kategori Beregu Lelaki Bawah 16 Tahun.

 

Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor turut hadir menyaksikan perlawanan akhir pusingan pertama sirkit kebangsaan AFFIN-100PLUS Junior Elite Tour 2026.

 

Hadir sama, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor; Dato’ Haji On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan); Tuan Haji Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri; Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru dan Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor.

 

#JohorSafeZone
#AFFIN100PLUS
#NJET1
#BadmintonJohor
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor