BANTUAN KOMPUTER RIBA SOKONGAN KERAJAAN NEGERI TERHADAP ANAK JOHOR DI PERMATA PINTAR

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyampaikan sumbangan tunai dan laptop serta menyantuni Anak Johor di Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM Bangi. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#HuluLangat – Kerajaan Negeri melalui Pusat PERMATA@Pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyalurkan bantuan komputer riba sebagai tanda sokongan kepada Anak Johor yang mengikuti sesi pembelajaran di institusi pendidikan berkenaan.

 

Penyerahan bantuan ini melibatkan seramai 15 pelajar Anak Genius Negeri Johor yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4 menerima bantuan komputer riba bagi membantu mereka untuk meningkatkan prestasi pembelajaran serta terus cemerlang dalam bidang yang diceburi.

 

Melalui Pusat PERMATA@Pintar UKM ini, para pelajar akan mengikuti empat program komprehensif antaranya ialah Program Pencarian dan Pengurusan Bakat, Program Pendidikan Menengah dan Rendah serta Program Pra Universiti.

 

Terdahulu, sebelum mengikuti program berkenaan, para pelajar perlu melalui ujian saringan UKM 1 dan 2 untuk mengenal pasti tahap darjah kecerdasan (IQ) mereka.

 

Setakat ini, seramai 42 pelajar Anak Johor mengikuti program berprestij ini, sekali gus menunjukkan peningkatan penyertaan pelajar kelahiran negeri ini ke program berkenaan yang turut merangmumi lima peringkat iaitu dari Tingkatan 1 hingga 5.

 

Kesemua pelajar yang mengikuti program ini akan diberi pendedahan awal dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penyelidikan, penekanan kepada pemikiran aras tinggi (HOTS), penyelesaian masalah dan kreativiti, selain turut membuka laluan untuk mengikuti pengajian tinggi di beberapa universiti terkemuka dalam dan luar negara.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir menyerahkan sumbangan wang tunai dan bantuan laptop serta menyantuni Anak Johor di Pusat PERMATA@Pintar Negara di UKM, Bangi.

 

Turut hadir ialah YB Marina Ibrahim Ahli Dewan Negeri (ADUN) Skudai; Prof Madya Dr Yazrina Yahya, Pengarah Pusat PERMATA@Pintar Negara UKM dan Ts. Dr Mohd Azlan Ab. Jalil, Timbalan Pengarah Institut Dato’ Onn (IDO).

 

#JohorSafeZone
#UKM
#PERMATAPintar
#AnakGeniusJohor
#IDO
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor