BERSAMA JAYAKAN MISI ‘JOHOR SPORT POWERHOUSE’


Johor Sports Townhall 2024 di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru. | Foto Majlis Sukan Negeri Johor

 

Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat. Atas dasar kebersamaan dalam memajukan industri sukan di Johor, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) buat julung kalinya, menghimpunkan semua persatuan sukan Negeri Johor dalam satu sesi Johor Sports Townhall 2024 yang diadakan di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru.

 

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor yang menyeru semua persatuan sukan di Negeri Johor supaya sentiasa bersatu hati dalam menjayakan agenda Kerajaan Johor untuk mengangkat negeri ini sebagai ‘Sport Powerhouse’, selaras dengan Pelan Induk Sukan Johor 2030.

 

Bagi menyemarakkan industri sukan di Johor, Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak, Pengarah MSNJ turut mengambil peluang bagi menerangkan lebih lanjut mengenai Sistem Penggredan Persatuan Sukan yang turut membabitkan fasa pemantapan tadbir urus dalam tempoh lima tahun yang dilaksanakan sebelum ini serta usaha penambahbaikan yang sedang giat dilaksanakan pada tahun ini.

 

Bagi memastikan suara penggiat sukan ini didengari, Johor Sports Townhall 2024 turut membuka ruang kepada semua persatuan sukan untuk menyuarakan pandangan dan berkongsi idea dalam usaha untuk memperkasakan industri sukan di Negeri Johor.

 

Pada program sama, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) menjadi persatuan sukan tunggal yang menerima penarafan penggredan A. Empat persatuan sukan menerima penggredan B dan 17 lagi persatuan sukan di Johor pula menerima penggredan C. Kesemua persatuan ini menerima penarafan berkenaan pada sesi Majlis Penyerahan Subsidi Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor.

 

Hadir sama pada program itu ialah YB Dato’ Haji ‘On Jabbar@Jaafar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) dan Hairul Ilham Hamzah, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Negeri Johor.

 

#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor