EDUFEST 2025 FESTIVAL PENDIDIKAN ANTARABANGSA PERTAMA MALAYSIA

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan peluncuran EDUFEST 2025 di Sunway Hotel Big Box. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Johor menempa sejarah dalam sektor pendidikan apabila menganjurkan Festival Pendidikan Antarabangsa Iskandar Puteri (EDUFEST) 2025 yang berlangsung di kompleks Sunway Big Box Retail Park bermula 12 hingga 16 September ini.
Festival pendidikan antarabangsa penuh inovasi dan kreativiti pertama seumpamanya di Malaysia seterusnya diharapkan menjadi ‘trend setter’ itu dianjurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dengan kerjasama Institut Dato’ Onn (IDO), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta rakan strategik.
EDUFEST 2025 menjadi platform membangunkan sistem pendidikan negeri lebih mampan dan berdaya saing selain mengukuhkan jaringan antarabangsa melibatkan institusi pendidikan serta mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan pendidikan global menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Berlangsung selama empat hari ini, festival berkenaan mensasarkan penyertaan 10,000 pelajar di mana 5,000 pelajar sekolah rendah dan menengah secara fizikal menerusi 26 aktiviti menarik serta berimpak tinggi, manakala baki 5,000 lagi menyertainya secara dalam talian.
Antara aktiviti yang diadakan adalah ‘Aviation Challenge’, ‘Digital & Gaming Challenge’, ‘iPad Challenge’, ‘E-Sport Challenge’, ‘Orienteering Challenge’ dan peraduan mewarna selain dua aktiviti dalam talian iaitu ‘World Peace Challenge’ dan ‘Environment Challenge’.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan peluncuran EDUFEST 2025 di Sunway Hotel Big Box, hari ini. Turut hadir, YBhg. Encik Mohd Gadaffie Abd. Aziz, Pengarah IDO; YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) Kementerian Pendidikan Malaysia; YBrs. Encik Zulkarnain Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) JPNJ serta YBrs. Puan Azizah Khalid Merican, Ketua Bahagian Pendidikan, Iskandar Investment Berhad (IIB).
#JohorSafeZone
#EDUFEST2025
#SunwayBigBox
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor