EXCO KERAJAAN JOHOR TERUS PANTAU ISU PENEMPATAN ROHINGYA DI KULAI


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Jafni Md Shukor mengadakan pemantauan susulan ke atas penempatan etnik Rohingya di Daerah Kulai. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor terus memberikan perhatian berhubung isu penempatan dan kacau ganggu melibatkan etnik Rohingya di Kulai.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Jafni Md Shukor mengadakan pemantauan susulan ke atas penempatan etnik terbabit di daerah itu.

 

Menurutnya, pemantauan dilakukannya itu lanjutan daripada mesyuarat dan perbincangan berkaitan isu penempatan Rohingya bersama pihak berkuasa, pada bulan lalu.

 

“Susulan mesyuarat dan perbincangan berkaitan isu penempatan Rohingya di Kulai bersama Pegawai Daerah Kulai, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (Johor) dan Pejabat Kesihatan Kulai akhir bulan lepas, saya sendiri telah melakukan pemantauan susulan di penempatan tersebut.

 

“Selain dari aduan kacau ganggu yang diterima, MPKu turut menerima tentang aduan kebersihan di kawasan penempatan Rohingya ini. Saya sendiri telah memberi amaran kepada mereka agar menjaga kebersihan di kawasan penempatan,” katanya dalam Facebook rasminya, pada Rabu.

 

Mohd Jafni berkata, tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa sekiranya terdapat aduan kekotoran dan kacau ganggu di penempatan etnik terbabit.

 

“Saya akan terus memantau secara agresif untuk setiap isu berkaitan etnik Rohingya bersama semua agensi berkaitan,” katanya.

 

Terdahulu, Media Digital Johor sebelum ini melaporkan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan terhadap setiap laporan dan aduan berkaitan kacau ganggu melibatkan penempatan etnik Rohingya.

 

Tindakan secara bersepadu diambil susulan tular video seorang warga Rohingya yang bertindak biadap sebagai reaksi kepada teguran penduduk kerana tidak berpuas hati dengan kacau ganggu di penempatan etnik itu dalam platform TikTok.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor