GRETEL BUETA, LAURA LANGMAN SERLAH KILAUAN JOHOR JEWELS

Aksi pemain import baharu Johor Jewels, Gretel Bueta dan Laura Langman ketika perlawanan persahabatan bola jaring antara Johor Jewels dan Fire Oscas dari Singapura.| Foto Johor Jewels

 

#IskandarPuteri – Pasukan Johor Jewels membuat kejutan dengan mengumumkan dua pemain import bertaraf juara dunia bagi mengharungi musim baharu Netball Super League (NSL) 2026 yang bakal bermula pada April nanti.

 

Gretel Bueta, pemain bola jaring Australia Diamonds menyertai Johor Jewels pada Oktober 2025. Bukan sekadar pemain import biasa, Gretel mewakili pasukan kebangsaan Australia dengan catatan lebih daripada 40 penampilan di peringkat antarabangsa. Beliau memainkan watak penting dalam kemenangan pingat emas pada Sukan Komanwel 2022 dengan rekod jaringan 96 peratus sepanjang kejohanan.

 

Dengan pencapaian terbaik di peringkat domestik dan antarabangsa, Gretel pernah menerima anugerah Liz Ellis Diamond yang merupakan anugerah berprestij dalam sukan bola jaring Australia pada tahun 2019. Pemain terbaik ini juga pernah disenaraikan dalam Super Netball Team Of The Year sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2018, 2019 dan 2022.

 

Selain itu, Laura Langman menjadi pemain import kedua yang direkrut baru-baru ini bagi melengkapkan persiapan Johor Jewels menjelang musim baharu. Pemain yang merekodkan minit permainan terbanyak dalam sejarah pasukan kebangsaan New Zealand ini juga merupakan seorang kapten yang membimbing pasukannya memenangi Piala Dunia Bola jaring pada 2019.

 

Sepanjang penglibatan Laura dalam sukan bola jaring, beliau pernah menerima anugerah Darjah Kebesaran New Zealand di atas kejayaan cemerlang sepanjang karier. Pemenang pingat emas pada dua siri Sukan Komanwel (2006 dan 2010) ini juga merupakan satu-satunya pemain bola jaring yang dilantik ke ‘Netball New Zealand Hall Of Fame’.

 

Kehadiran kedua-dua pemain import yang berpengalaman dan mempunyai reputasi besar ini bakal memberi impak positif terhadap Johor Jewels. Mereka telah meletakkan tanda aras profesionalisme dan standard latihan yang tinggi bagi pemain tempatan sekali gus memberikan pengalaman secara langsung dari kaca mata seorang pemain elit dunia.

 

Kualiti fizikal, kefahaman situasi permainan dan semangat bersaing yang ada pada pemain-pemain import ini secara tidak langsung dapat memberi inspirasi untuk menaikkan tahap prestasi keseluruhan skuad Johor Jewels.

 

#JohorSafeZone
#JohorJewels
#NSL2026
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor