IIB, TM-NXERA JALIN KERJASAMA BANGUNKAN INFRASTRUKTUR DIGITAL


Iskandar Investment Berhad (IIB) menerusi River Retreat Sdn. Bhd. memeterai kerjasama strategik dengan TM-NXERA.

 

Iskandar Investment Berhad (IIB) menerusi River Retreat Sdn. Bhd. memeterai kerjasama strategik dengan TM-NXERA, usaha sama antara Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan Singapore Telecommunications Ltd. (Singtel) untuk membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan digital yang canggih di kawasan Iskandar Puteri.

 

Kerjasama strategik yang dijalinkan merupakan peristiwa penting dalam usaha untuk mengorak langkah menjadi peneraju hab digital dan inovasi di Johor yang akan melibatkan pelaburan sekitar RM9 bilion oleh pihak-pihak terlibat dalam membangunkan infrastruktur di Iskandar Puteri.

 

Mengulas mengenai kerjasama strategik berkenaan, YBhg. Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif IIB memaklumkan keputusan TM-NXERA mewujudkan infrastruktur AI dan digital di Iskandar Puteri merupakan pencapaian penting yang memupuk inovasi serta menggalakkan pertumbuhan di rantau ini.

 

Sementara itu, YBrs. Bill Chang, Ketua Pegawai Eksekutif NXERA dan Unit InfraCo Digital Singtel menyifatkan inisiatif tersebut selari dengan visi mereka untuk memperkasakan ekonomi dan komuniti digital di rantau ini, malah yakin usaha dilakukan mampu menyerlahkan potensi yang luas untuk perniagaan Johor dan Singapura.

 

Manakala YBrs. Amar Huzaimi Md Deris, Ketua Pegawai Eksekutif TM pula memberitahu Johor merupakan destinasi utama bagi pengembangan infrastruktur digital yang dipacu oleh ketersambungan domestik dan antarabangsa TM selain usahasama berkenaan menjadi langkah utama untuk meletakkan Malaysia sebagai hab digital serantau.

 

Kerjasama IIB dengan TM-NXERA juga sejajar dengan Agenda Nasional Malaysia termasuk Rangka Tindakan MyDIGITAL selain mendukung matlamat negara bagi menarik pelaburan digital bernilai RM70 bilion menjelang tahun 2025 seperti dalam Rangka Induk MyDIGITAL dan Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030.

 

Infrastruktur digital baharu itu bakal menghasilkan pelbagai manfaat kepada Iskandar Puteri seterusnya membuka peluang dan mencipta nilai di samping menambah peluang dan merangsang pelaburan dengan menarik syarikat berasas teknologi serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja digital dalam kalangan bakat tempatan.

 

Selain itu, infrastruktur berkenaan juga memberi fokus kepada kemampanan sejajar dengan visi IIB untuk mewujudkan ‘Net-Zero Carbon Central Business District (CBD)’ di Medini di mana ia akan mempertingkatkan ekosistem perniagaan yang memudahkan pembangunan pelbagai industri dipacu teknologi dalam Iskandar Puteri.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor