JDT RACING TEAM LUASKAN KUASA KE INDONESIA

Andi Farid Izdihar, pelumba rasmi JDT Racing Team dari Indonesia. | Foto JOHOR Southern Tigers
#IskandarPuteri – JDT Racing Team kini tampil dengan gandingan yang cukup mantap bagi mengharungi musim baharu Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 dengan menyatukan pelumba dari Indonesia, Andi Farid Izdihar, bersama juara bertahan, Hafizh Syahrin Abdullah.
Pengumuman pelumba berbakat yang menjadi kegilaan peminat sukan permotoran Indonesia sebagai pelumba rasmi JDT Racing Team sememangnya satu langkah strategik yang luar biasa. Langkah ini bukan sahaja memperkukuhkan kehadiran JDT dalam kancah sukan permotoran Asia menerusi kejohanan ARRC, malah meluaskan pengaruh jenama Harimau Selatan secara drastik ke pasaran Indonesia.
Lebih dikenali sebagai Andi Gilang, peralihan beliau ke kategori ASB1000 pada musim lalu sememangnya menarik perhatian peminat sukan permotoran serantau dengan berjaya menaiki podium sebanyak tiga kali, satu pencapaian yang sangat impresif bagi seorang pelumba baharu dalam kategori tersebut.
Andi mempunyai pengalaman daripada kancah Moto2 dan Moto3 di peringkat kejuaraan dunia dan pengalaman tersebut memberikannya kelebihan dari segi disiplin dan teknik tunggangan, terutamanya ketika mengendalikan jentera yang lebih besar dan berkuasa tinggi.
Dalam dunia sukan permotoran, bakat sahaja tidak memadai tanpa disiplin yang tinggi. Sifat Andi yang bekerja keras dalam apa jua cabaran yang dihadapi menunjukkan beliau selari dengan falsafah JDT Racing Team.
Gabungan El Pescao yang memiliki pengalaman teknikal di tahap tertinggi dunia dengan Andi Gilang yang terkenal dengan kelajuan dan tunggangan agresif menjadikan mereka antara pencabar utama gelaran juara.
Gandingan ini bukan sahaja memberi kelebihan dari segi strategi perlumbaan, malah penggunaan jentera Ducati Panigale V4R yang terbukti semakin dominan di litar memberikan kelebihan mekanikal yang sukar digugat.
JDT Racing Team bakal memulakan perlumbaan pertama ARRC 2026 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS pada April nanti.
#JohorSafeZone
#JDTRacingTeam
#ARRC2026
#TheTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



