JLAND LANCAR FASA KEDUA FLEXI HOME DI BANDAR DATO’ ONN


Pengarah Bertanggungjawab JLand, Zamri Yusof melancarkan fasa kedua hartanah kediaman jenis Flexi Home di Bandar Dato’ Onn, dekat Johor Bahru, baru-baru ini. | Foto ihsan Facebook Johor Land Berhad

 

ISKANDAR PUTERI — Johor Land Berhad (JLand) melancarkan fasa kedua hartanah kediaman jenis Flexi Home di Bandar Dato’ Onn, dekat Johor Bahru, baru-baru ini.

 

Pengarah Bertanggungjawab JLand, Zamri Yusof berkata, Flexi Home merupakan rumah teres dua tingkat bersaiz 18’x 65′ dengan luas binaan 1,540 kaki persegi.

 

Menurutnya, hartanah itu dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 34.9 ekar di Perjiranan 14, Bandar Dato’ Onn.

 

“Fasa kedua Flexi Home dilancar melibatkan pembangunan sebanyak 239 unit rumah dengan harga bermula dari RM488,888 untuk jenis A (17 unit) dan RM538,888 untuk jenis B (222 unit),” katanya.

 

Zamri berkata, pembangunan Flexi Home meliputi tiga fasa dengan jumlah unit keseluruhan adalah 455 unit, selain mempunyai nilai pembangunan kasar berjumlah RM204.9 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

 

Ujarnya, Flexi Home merupakan projek inovasi JLand yang telah dimulakan pada tahun lalu, bagi memberikan pilihan dan kelainan kepada pembeli pada harga mampu dimiliki.

 

“Kedua-dua jenis kediaman ini mempunyai keunikan tersendiri di mana jenis A memberikan lebih fleksibiliti kepada pembeli untuk mereka bentuk susun atur mengikut idea dan kreativiti sendiri.

 

“Manakala jenis B pula berkonsepkan ‘dual key’ yang membolehkan pembeli mengasingkan penggunaan ruang di kedua-dua aras kediaman,” katanya.

 

Beliau memberitahu sejumlah 73 unit kediaman jenis A bagi fasa ketiga telah habis dijual ketika pelancarannya pada Disember tahun lalu.

 

“Perjiranan 14 menawarkan kediaman dengan reka bentuk moden dengan persekitaran yang hijau berteraskan Matlamat Alam Sekitar Mampan (ESG).

 

“Apabila siap sepenuhnya, perjiranan dengan reka bentuk moden tersebut akan turut dilengkapi kawasan rekreasi, dewan serbaguna dan surau untuk kemudahan penduduk,” katanya.

 

Pada Januari lalu, JLand mengumumkan pelancaran 725 unit hartanah baharu bernilai lebih RM502.8 juta di Bandar Dato’ Onn selain 188 unit (RM88.6 juta) di Bandar Tiram dan 120 unit (RM65.5 juta) di Taman Mutiara Gading, dekat Batu Pahat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor