JOHOR MELANGKAH KE FASA PENTING MUNCUL NEGERI MAJU

Menoleh kembali ke 2025, Kerajaan Negeri Johor telah membuktikan keupayaannya melalui pelaksanaan yang jelas apabila sasaran menarik pelaburan RM100 bilion berjaya direalisasikan, serta hasil negeri tertinggi telah diraih iaitu RM2.676 bilion, sekali gus menjawab segala keraguan terhadap potensi ekonomi negeri ini.

 

 

 

Oleh – YB Tuan Lee Ting Han
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor

 

 

 

1. Tahun 2025 yang penuh cabaran dan pencapaian telah melabuhkan tirainya, membuka ruang untuk refleksi terhadap perjalanan yang telah ditempuh serta hala tuju Johor pada fasa seterusnya.

 

2. Saya merakamkan penghargaan kepada Media Digital Johor atas penyediaan platform ini serta kepercayaan warga Paloh dan seluruh Bangsa Johor yang membolehkan perkongsian pandangan mengenai masa depan negeri ini dapat dibuat secara terbuka dan berfokus.

 

3. Menoleh kembali ke 2025, Kerajaan Negeri Johor telah membuktikan keupayaannya melalui pelaksanaan yang jelas apabila sasaran menarik pelaburan RM100 bilion berjaya direalisasikan, serta hasil negeri tertinggi telah diraih iaitu RM2.676 bilion, sekali gus menjawab segala keraguan terhadap potensi ekonomi negeri ini.

 

4. Pendekatan pragmatik dalam menggerakkan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) membuktikan bahawa dengan hala tuju yang jelas dan pelaksanaan yang konsisten, Agenda Maju Johor bukan sekadar slogan tetapi sebuah komitmen yang boleh ditunaikan.

 

5. Dalam masa terdekat, satu pelan pembangunan menyeluruh akan diperkenalkan bagi memperjelas hala tuju zon ini dengan fokus tadbir urus negeri beralih daripada kuantiti pelaburan kepada kualiti pelaburan yang akan benar-benar memberi nilai tambah kepada ekonomi Johor.

 

6. Keutamaan akan diberikan kepada pelaburan yang berakar umbi, melibatkan perusahaan tempatan dan menyumbang kepada pembentukan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, peningkatan pendapatan serta penambahbaikan kualiti hidup rakyat.

 

7. Pengalaman menyertai misi pelaburan ke Amerika Syarikat dan China sepanjang tahun lalu turut memperlihatkan bagaimana teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama perubahan global, bukan lagi sekadar konsep masa depan.

 

8. Perkembangan ini menuntut Johor untuk bertindak proaktif melalui pengukuhan infrastruktur digital, penggubalan dasar berpandangan jauh serta pembangunan modal insan agar negeri ini tidak ketinggalan dalam arus transformasi teknologi.

 

9. Nilai sebenar setiap pendedahan antarabangsa terletak kepada keupayaan untuk menterjemahkannya kepada dasar dan pelaksanaan yang mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat Johor.

 

10. Bagi Johor, tahun 2026 bukan sekadar permulaan tahun baharu, tetapi ia adalah satu lagi fasa penting untuk memperkukuh hala tuju dan memperdalam pelaksanaan demi masa depan negeri yang lebih berdaya saing dan mampan.

 

11. Marilah kita melangkah bersama untuk menjadikan Negeri Johor yang kita cintai ini lebih maju, diyakini dan disegani.

 

#WTN
#JohorMestiJadiJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor