JOHOR PERKUKUH LALUAN PANTAS GRADUAN KEJURUTERAAN KE PASARAN KERJA
Oleh: NUREEN NATASYA NOOR HASHAIRUL

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan perbincangan strategik bersama BEM, IEM Selatan dan TAM Johor bagi mengukuhkan laluan pantas graduan kejuruteraan ke pasaran kerja. | Foto FB Aznan Tamin
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus memperkasa usaha melahirkan graduan kejuruteraan yang lebih berdaya saing menerusi kerjasama strategik yang dilaksanakan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bersama Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Selatan dan Persatuan Teknologi Malaysia (TAM) Johor.
Langkah strategik ini juga dilihat selari dengan aspirasi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menuntut kehadiran ramai jurutera baharu yang bukan sahaja cekap dari segi keperluan teknikal, malah mampu berinovasi, berdaya cipta dan berupaya untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Di samping itu, tumpuan utama pada kerjasama ini juga turut menjurus kepada cadangan untuk memberi kelonggaran kepada mahasiswa untuk menjalani latihan industri pada semester akhir di syarikat-syarikat dalam negeri, sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk terus diserap masuk ke alam pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian.
Cadangan proaktif berkenaan turut mendapat perhatian serius daripada pihak BEM yang kini sedang meneliti kaedah terbaik untuk melaksanakannya bagi memastikan ia berupaya meningkatkan kebolehpasaran graduan kejuruteraan Johor secara menyeluruh.
Selain itu, JTDC juga akan memperkukuh peranannya sebagai penghubung utama antara universiti, industri dan mahasiswa bagi memastikan Orang Muda Johor bukan sahaja memiliki kepakaran teknikal, tetapi turut dilengkapkan dengan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kebolehan menyelesaikan masalah.
Justeru, Kerajaan Negeri juga optimis bahawa kolaborasi strategik ini mampu melahirkan generasi jurutera yang holistik serta berdaya saing, seterusnya menjadi tonggak penting dalam menjayakan kemampanan inisiatif JS-SEZ dan memperkukuh kedudukan negeri di pentas serantau mahupun di peringkat global.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan sesi perbincangan strategik bersama Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Selatan dan Persatuan Teknologi Malaysia (TAM) Johor bagi mengukuhkan laluan pantas graduan kejuruteraan di negeri ini untuk menembusi peluang pasaran kerja yang dinamik dan holistik.
#JohorSafeZone
#JohorTalentDevelopmentCouncil
#JTDC
#TVETJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor