JOHOR UMUM 42 INISIATIF TAMBAHAN MELIBATKAN PERUNTUKAN LEBIH RM209 JUTA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengumumkan 42 insentif tambahan melibatkan peruntukan lebih RM209 juta pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mengumumkan 42 inisiatif tambahan dengan nilai peruntukan lebih RM209 juta melibatkan 1.9 juta penerima manfaat yang menjadi bukti bahawa setiap pertambahan hasil negeri disalur dan dikembalikan terus kepada rakyat.

 

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 25 inisiatif untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, manakala baki 17 inisiatif pula merangkumi peningkatan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan sosial demi manfaat Bangsa Johor.

 

Antara inisiatif tersebut adalah Program Infaq Jumaat Johor dengan peruntukan RM1.72 juta yang disalurkan kepada 132 masjid, peluasan Jualan Kasih Johor ke 252 lokasi lagi (RM13.7 juta), agihan bakul makanan di 56 DUN (RM5.88 juta), tambahan 2,000 komputer riba untuk mahasiswa (RM5 juta).

 

Kerajaan Negeri turut mengumumkan bantuan ‘one-off’ sebanyak RM200 seorang antaranya kepada Mahasiswa Anak Johor dengan peruntukan RM17.78 juta, pelajar Tingkatan 6 dan Asasi (RM2.2 juta), pemandu e-hailing dan p-hailing (RM7.91 juta) serta warga emas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (RM3.54 juta).

 

Selain itu, inisiatif menyelesaikan 158 isu dibangkitkan melalui Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) dengan peruntukan RM12.61 juta, memasang mercu tanda bagi mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026 di 21 lokasi (RM1.26 juta) serta sokongan 117 sukarelawan Southern Volunteers di Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Pasir Gudang (RM2.02 juta)

 

Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga telah mengumumkan inisiatif dengan peruntukan lebih RM20 juta yang memanfaatkan 200,000 Bangsa Johor melibatkan peneroka FELDA (RM4.6 juta), Orang Asli (RM3.87 juta), ibu tunggal (RM5 juta) dan pesakit kanser (RM5 juta).

 

Untuk rekod, Johor mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM56 bilion dalam suku kedua tahun ini, peningkatan luar biasa berbanding tempoh sama tahun lalu yang meletakkan negeri ini di tangga tertinggi dari segi Pelaburan Langsung Asing (FDI) negara.

 

Johor juga merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.4 peratus, pertumbuhan melangkaui purata nasional sekali gus tertinggi negara pada tahun lalu selain mencatat nilai hasil jualan pertanian tertinggi dengan RM27.2 bilion.

 

Kerajaan Negeri juga optimis Johor berada di landasan untuk merekodkan unjuran hasil negeri sebanyak RM2.5 bilion iaitu rekod tertinggi dalam sejarah negeri pada tahun ini, yang dicapai hasil daripada komitmen bersama sebagai satu pasukan.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab soalan berkaitan kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Dewan Persidangan, Aras 2, Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), hari ini.

 

#JohorSafeZone
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor