KAMPUNG PARIT ABDUL RAHMAN, KAMPUNG PARIT MANTAN SEBAGAI KAMPUNG ANGKAT MADANI JKKN 2025

YBrs. Encik Mohd Amran Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani JKKN 2025 di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Comel, Kampung Parit Abdul Rahman, Batu Pahat. | Foto MDJ Wira Anggara
#BatuPahat- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Pejabat Daerah Batu Pahat telah memilih Kampung Parit Abdul Rahman dan Kampung Parit Mantan sebagai Kampung Angkat MADANI JKKN sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Bagi memastikan keseimbangan masyarakat luar bandar itu, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi tujuan untuk menaik taraf beberapa fasiliti di kedua-dua kampung berkenaan seperti masjid, surau, balai raya serta kemudahan awam yang lain demi kesejahteraan penduduk setempat.
Selain itu, menerusi inisiatif ini juga beberapa kemudahan infrastruktur turut diperkasakan membabitkan pemasangan 20 unit lampu solar, penanaman anak pokok, penyediaan tanda nama bagi setiap rumah, pembinaan arca di pintu masuk kampung, mengubah suai dataran perhimpunan di Sekolah Agama (SA) Seri Comel.
Peruntukan sama juga turut digunakan bagi tujuan pembekalan barang keperluan balai raya serta pembelian alatan kompang bagi memudahkan aktiviti kebudayaan belia tempatan, sekali gus menyokong hasrat menjadikan Batu Pahat sebagai daerah berbudaya di negeri ini pada masa hadapan.
Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penghulu Saat, Parit Sulong dipilih sebagai sekolah Angkat MADANI JKKN yang secara tidak langsung menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi projek menaik taraf dewan terbuka, pembelian kostum dan aksesori kebudayaan serta menambah baik fasiliti bilik guru dan bilik darjah di sekolah berkenaan.
Terdahulu, YBrs. Encik Mohd Amran Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani JKKN 2025 di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Comel, Kampung Parit Abdul Rahman, Batu Pahat. Turut hadir ialah YB Dato’ Haji Zulkarnain Kamisan, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sri Medan dan YBhg. Tuan Haji Nur Faiz Jamil, Pentadbir Tanah Batu Pahat selaku wakil rasmi Pegawai Daerah Batu Pahat.
#JohorSafeZone
#JKKN
#JKKNJohor
#KampungAngkatJKKN
#TahunMelawatJohor2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


