KECEMERLANGAN PELAJAR SEKOLAH AGAMA JOHOR DIIKTIRAF

YBhg. Tuan Haji Nasri Md Ali, Pengarah JAINJ (kiri) menyampaikan cek cura pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan UPKK, SDEA, SDKA, SMRA, SMA, SPM dan STAM Tahun 2024 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Seramai 325 pelajar cemerlang sekolah agama di negeri ini diraikan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas mereka berjaya meraih keputusan membanggakan dalam peperiksaan awam agama berkenaan, tahun lalu.
Kesemua pelajar berkenaan berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK); Sijil Darjah Enam Agama (SDEA); Sijil Darjah Khas Agama (SDKA); Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Turut menerima pengiktirafan ialah Sekolah Menengah Rendah Agama (SMRA) dan Sekolah Menengah Agama (SMA) yang berjaya mencatat kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan awam agama berkenaan.
Menerusi Anugerah Kecemerlangan peperiksaan UPKK, SDEA, SDKA, SMRA, SMA, SPM dan STAM bagi Tahun 2024 yang diadakan ini, ia bukan sahaja meraikan kecemerlangan murid tetapi menjadi pemangkin dalam menyuntik semangat kepada pelajar serta sekolah agama Negeri Johor untuk meningkatkan pencapaian masing-masing pada masa depan khususnya dalam aliran Pendidikan Islam.
Ia secara tidak langsung dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan generasi Qurani, berilmu, berahlak dan beramal.
Sementara itu, kategori Sekolah Agama Terbaik Peringkat UPKK disandang oleh Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kluang, manakala SA Bandar Putra, Sekolah Agama Api-Api dan SA Kampung Semangar pula berkongsi kategori sama bagi peringkat SDEA.
Bagi kategori Sekolah Agama Terbaik Peringkat SDKA pula diraih oleh SA Penjara Simpang Renggam, SA Mawai Baru dan SA Pengerang. Manakala, kategori Sekolah Menengah Terbaik Peringkat SMRA, SMA dan SPM disandang oleh Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang dan kategori STAM diraih oleh Sekolah Menengah Agama Annur, Pontian.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan UPKK, SDEA, SDKA, SMRA, SMA, SPM dan STAM Tahun 2024 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru.
Turut hadir ialah YBhg. Tuan Haji Nasri Md Ali, Pengarah JAINJ; YBrs. Tuan Haji Md Radhi Ruslan, Timbalan Pengarah Pendidikan Agama Bahagian Pendidikan Islam JAINJ.
Hadir sama ialah YB Dato’ Haji M. Tahrir Dato’ Haji Samsudin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Pungutan Khairat merangkap Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan YBhg. Tuan Haji Ahmad Dhiauddin Salimin, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Akademi Bahagian Pendidikan Islam JAINJ.
#JohorSafeZone
#BuliBukanBudayaJohor
#JAINJ
#SAKJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor