KEMPEN ‘HENTIKAN BULI’ DIPERLUAS KE SAKJ

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor ketika menyempurnakan Perasmian Penutup Majlis Perujian Membaca Al-Quran Murid-Murid SAKJ Peringkat Negeri Kali Ketujuh bagi Tahun 2025 dan Gimik Peluncuran Kempen ‘Tolak Buli’ di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Tangkak – Kerajaan Negeri Johor menggesa supaya kempen ‘Hentikan Buli’ yang kini sedang dilaksanakan di negeri ini turut diperluaskan ke semua Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) serta ia perlu dilakukan secara berterusan demi membendung budaya negatif itu daripada terus menular.
Inisiatif yang dibawakan oleh Kerajaan Negeri ini akan turut dilaksanakan di semua peringkat Institusi Pendidikan Agama di Johor yang melibatkan 575 buah SAKJ; lapan buah Sekolah Agama Rendah Bersepadu (SRAB), tiga buah Sekolah Menengah Agama (SMA) serta Institusi Pengajian Islam Swasta di seluruh negeri yang akan bermula pada hari Khamis ini, sekali gus menjadikannya satu pendekatan yang inklusif dalam usaha menangani budaya buli.
Dengan pelaksanaan menyeluruh di seluruh Negeri Johor, inisiatif ini mencerminkan hasrat Kerajaan Negeri untuk mengembalikan keyakinan ibu bapa dalam menghantar anak-anak ke institusi pendidikan SAKJ, khususnya membabitkan pelbagai aspek keselamatan pelajar yang lebih terjamin.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir menyempurnakan Perasmian Penutup Majlis Perujian Membaca Al-Quran Murid-Murid SAKJ Peringkat Negeri Kali Ketujuh bagi Tahun 2025 dan Gimik Peluncuran Kempen ‘Tolak Buli’ di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.
Turut hadir ialah YBhg Tuan Haji Nasri Md. Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ); YBhg Tuan Haji Ts. Mohd Johari Tarmidi, Pegawai Daerah Tangkak; YBhg Tuan Haji Md Radhi Roslan, Timbalan Pengarah (Pendidikan Agama) JAINJ dan YBhg. Tuan Haji Ahmad Hesamudin Mohd Tahir, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JAINJ.
Pada majlis itu, daerah Johor Bahru muncul sebagai johan keseluruhan Majlis Perujian Membaca Al-Quran Murid-Murid SAKJ Peringkat Negeri Kali Ketujuh bagi Tahun 2025. Sebanyak 20 kategori yang dipertandingkan antaranya ialah Tilawah Al-Quran, Hafazan Al-Quran dan beberapa lagi kategori lain.
#JohorSafeZone
#BuliBukanBudayaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor